Kapal kargo berlabuh tanpa kebenaran ditahan
GEORGETOWN - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pulau Pinang menahan sebuah kapal kargo selepas melakukan kesalahan berlabuh tanpa kebenaran.
Pengarah Maritim Pulau Pinang, Kepten Maritim, Abd Razak Mohamed berkata, kapal kargo MV KONG sepanjang 59.97 meter yang didaftarkan di Sierra Leone itu ditahan di kedudukan 0.7 batu nautika barat Bagan Ajam sekitar jam 1.30 petang pada Jumaat.
Menurutnya, kapal itu dikendalikan sembilan kru, termasuk nakhoda dengan tiga daripada mereka warga Indonesia yang berusia 41 hingga 47 tahun dan enam lagi warga Iran berusia 34 hingga 47 tahun.
"Hasil pemeriksaan lanjut mendapati mereka disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 491B(1)(l) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 iaitu bersauh tanpa kebenaran Ketua Pengarah Jabatan Laut Malaysia.
"Kapal dan kru tersebut dibawa ke Jeti PPM Batu Uban untuk diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Maritim Negeri Pulau Pinang. Jika didapati bersalah boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Abd Razak berkata, Maritim Pulau Pinang akan terus mempertingkatkan pemantauan dan rondaan di sekitar perairan Pulau Pinang serta tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang melanggar undang-undang perairan negara.
Orang awam diminta agar bekerjasama dalam melaporkan sebarang kejadian menyalahi undang-undang, kecemasan atau kemalangan di laut melalui talian kecemasan 24 jam iaitu MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Pulau Pinang di talian 04-2626146 / 04-2643650.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!