Anjing K9 bantu bomba kesan mayat tertimbus lumpur

Anggota Unit K9 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) melakukan operasi mencari dan menyelamat mangsa yang hilang dihanyutkan arus deras sungai di Bobby Eco Farm Resort. Foto Bernama
Anggota Unit K9 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) melakukan operasi mencari dan menyelamat mangsa yang hilang dihanyutkan arus deras sungai di Bobby Eco Farm Resort. Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBM) menemui mayat mangsa banjir yang tertimbus lumpur sedalam 3.6 meter menggunakan khidmat unit anjing pengesan (K9).

Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Muhammad Hamdan Wahid berkata, pihaknya masih menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR) secara agresif dengan menggerakkan segala aset bomba serta bantuan agensi lain.

"Kita percaya dalam keadaan sekarang ini tugas SAR mencari mangsa hilang cukup mencabar untuk pasukan bomba kerana selepas air banjir lumpur surut, timbunan batang kayu, sampah selut, belukar termasuk bahan binaan musnah dan sebagainya timbul.

"Semalam kita berjaya menemui dan mengeluarkan mayat mangsa lemas dalam banjir lumpur pada kedalaman 3.65 meter yang dikesan menggunakan khidmat unit K9," katanya dalam sidang media di Pusat Kawalan Operasi Bencana di Sri Muda, Seksyen 25 di sini pada Sabtu.

Beliau berkata, pihaknya sedang giat menjalankan operasi SAR melibatkan lima mangsa termasuk di Kampung Tanjung, Telemong, Bentong; Laman Pesona Cheroh, Raub; dan Taman Tas, Kuantan di Pahang.

"Kita turut menggerakkan semua aset bomba termasuk unit K9 bagi mengesan kesemua mangsa (lima orang) yang dilaporkan masih hilang. Operasi SAR itu diberi keutamaan bomba ketika ini kerana ia melibatkan soal nyawa," katanya.

Tambah beliau, pihaknya turut menjalankan operasi pemantauan menyeluruh di kesemua lokasi berisiko banjir di tiga negeri utama iaitu Pahang, Sarawak dan Selangor.

JBPM katanya, juga sudah bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan gelombang kedua banjir dalam masa terdekat yang dijangkakan pada 29 Disember ini berdasarkan ramalan Jabatan Meteorologi Malaysia.

Artikel Berkaitan:

"Berikutan perkara itu, pihak bomba akan memperhebatkan pemantauan dengan tumpuan di 34 kawasan di Sarawak, 20 kawasan berisiko banjir di Selangor dan 17 kawasan berisiko di Pahang," ujarnya

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!