JPS guna pam alirkan air genang di Mentakab

Dr Abd Latiff (duduk) bertanya sesuatu kepada salah seorang mangsa banjir ketika mengadakan lawatan di PPS Dewan Orang Ramai Paya Besar pada Jumaat.
Dr Abd Latiff (duduk) bertanya sesuatu kepada salah seorang mangsa banjir ketika mengadakan lawatan di PPS Dewan Orang Ramai Paya Besar pada Jumaat.
A
A
A

KUANTAN - Kaedah pengepaman air banjir kini sedang dilaksanakan oleh Jabatan Pengairan Saliran (JPS) bagi mengatasi masalah air genang di daerah Mentakab, Temerloh susulan banjir yang melanda kawasan berkenaan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas), Datuk Dr Abd Latiff Ahmad berkata, pengepaman air genang itu akan dialirkan ke Sungai Semantan dan Sungai Netas di Temerloh.

Menurutnya, pengaliran air genang itu dijangka akan meningkatkan paras air dari di hulu Sungai Pahang seterusnya mengalir ke hilir sungai.

"Saya difahamkan, satu pam telah mula di pasang pada Jumaat dan penggunaan pam itu tidak mencukupi. Jadi kita perlukan sebanyak mungkin pam bagi menyelesaikan masalah air genang di Mentakab.

"Kalau ikutkan, JPS mempunyai 24 pam dan peralatan itu kini berada di Ipoh, Perak. Namun apabila semua laluan ke Mentakab sudah dibuka ia akan mempercepatkan proses penghantar ke daerah ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengadakan lawatan di pusat pemindahan sementara (PPS) Dewan Orang Ramai Paya Besar di sini pada Jumaat.

Hadir sama, Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Kolonel (PA) Che Adam A Rahman.

Dalam pada itu, Dr Abd Latiff menjelaskan, penggunaan alat pemercik air atau 'springkler' juga dilihat membantu menyelesaikan masalah air genang pada paras buku lali.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, peralatan tersebut kebiasaannya digunakan untuk kerja-kerja penyiraman di kebun tetapi dalam keadaan ini (banjir) kaedah tersebut boleh dilaksanakan.

"Teorinya sama, air disedut menerusi peralatan itu dan dijadikan sebagai semburan di kawasan sekeliling.

"Kita pernah buat dan saya tengok air genang kering serta alatan ini akan kita perbanyakan penggunaannya setiap kali banjir kerana dapat banyak membantu menyelesaikan masalah air genang," ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!