'Rumah hanya nampak bumbung' - Mangsa banjir

Keadaan banjir yang melanda Taman Sri Muda, baru-baru ini. (Gambar kecil) dari kiri: Arokiamary Santanam, Noor Akhidah, Marsita Bahran)
Keadaan banjir yang melanda Taman Sri Muda, baru-baru ini. (Gambar kecil) dari kiri: Arokiamary Santanam, Noor Akhidah, Marsita Bahran)
A
A
A

SHAH ALAM - “Allahuakbar. Tak tahu nak cakap. Terlalu ngeri sangat kejadiannya. Keadaan rumah saya dah tenggelam ke paras bumbung waktu itu."

Demikian luahan seorang warga emas, Marsita Bahran, 55, menceritakan detik-detik kejadian banjir besar yang menimpa rumahnya, Sabtu lalu.

Marsita merupakan salah seorang mangsa banjir di Taman Seri Muda, Seksyen 25 dan kini ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) Pusat Latihan Pengajar dan Kemahiran Lanjutan (CIAST), Seksyen 19.

Menceritakan keadaan rumahnya, luah Marsita, semua barang kelengkapan rumah seperti perabot musnah selain dua biji kereta dihanyut banjir.

“Semua dah tenggelam ke paras bumbung. Kereta dua buah biji dihanyut banjir. Semua barang dalam rumah dah rosak. Tiada apa yang boleh diselamatkan. Semuanya musnah dalam sekelip mata,” katanya ketika ditemui di PPS CIAST yang menjadi lokasi lawatan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, pada Sabtu.

Mengulas lanjut, Marsita berkata, dia sebelum ini ditempatkan di Sekolah Kebangsaan Taman Sri Muda, namun mengalami masalah bekalan makanan dan elektrik.

“Sebenarnya saya dari sana. Terputus bekalan makanan. Selama dua hari saya hanya berbekalkan air dan roti tanpa makanan berat dan bekalan elektrik.

“Sebab itu suami saya, Ibrahim Othman, 57, dikejarkan ke hospital kerana tidak makan makanan berat dan insulin kerana dia menghidap diabetes. Sampai ke CIAST dia terus sakit,” luahnya.

Artikel Berkaitan:

Seorang lagi warga emas, Arokiamary Santanam, 62, memberitahu, tidak sampai lima bulan dia membeli kelengkapan rumah seperti peti sejuk dan mesin basuh, namun semuanya musnah dalam sekelip mata sahaja.

Lebih menyedihkan, wang yang digunakan itu hasil daripada pendapatannya sebagai tukang cuci di salah sebuah kilang elektrik.

“Ini adalah pengalaman pertama saya lalui banjir seteruk ini. Bila saya tengok peti sejuk dan mesin basuh yang saya baru beli tenggelam, jadi susah hati. Saya menangis. Saya kerja sebagai tukang cuci. Pergi kerja ada gaji. Tak pergi kerja tiada gaji.

“Tambahan pula saya terpaksa menjaga suami, Vejayan Murugan, 57, seorang orang kurang upaya (OKU) kerana menghidap diabetes dan kakinya terpaksa dipotong,” luah Arokiamary.

Sementara itu, Ketua Penyelaras PPS CIAST, Seksyen 19, Noor Akhidah Mohd Mustafa pula berkata, setakat ini sumbangan dan bantuan diterima sangat baik untuk menampung lebih 100 mangsa banjir yang terdiri daripada 39 keluarga.

“Di sini kami mengutamakan kesihatan dan keselamatan mangsa kerana penempatan di sini adalah penempatan warga emas dan kanak-kanak. Ada yang OKU, sakit tua dan kanak-kanak sindrom Down.

“Saya juga nampak mereka ini sudah tidak mempunyai apa-apa. Difahamkan di Taman Sri Muda, keadaannya sangat menyedihkan. Jadi, kita perlu bantu dari segi sokongan moral dan sumber kewangan,” kata Noor Akhidah.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!