Dua ‘Yo’ wira tidak didendang selamatkan mangsa banjir
KUANTAN - Dua individu yang mesra dengan panggilan ‘Yo’ dianggap wira setelah mereka berjaya menyelamatkan sebuah keluarga mangsa banjir berhampiran Taman Seri Damai Aman di sini pada awal pagi Sabtu lalu.
Dalam kejadian itu, mereka berdua terpaksa bergayut pada pokok pisang setelah bot dinaiki bersama mangsa yang diselamatkan tersekat pada tali ketika melalui kawasan air berarus deras hingga mereka terkandas hampir 40 minit.
Shaharul Anuar Ismail, 39, yang bertugas sebagai Pembantu Operasi di Universiti Malaysia Pahang (UMP) bersama rakan baiknya, Kamarul Azam Kamat Audah, 32, terpaksa meredah kegelapan dalam usaha membantu memindahkan keluarga mangsa yang terletak hampir 500 meter dari rumah mereka.
Menggunakan bot milik jiran, mereka mengharungi arus deras dalam sebuah kebun pisang dan hampir dihanyutkan arus deras beberapa kali.
Shahrul Anuar berkata, semasa berpaut, terlintas dalam fikirannya kalau ditakdirkan terjatuh, dia pasti hanyut dalam arus deras dan sukar untuk ditemui.
“Saya nekad untuk menyelamatkan anak-anak jiran sehinggakan lupa akan keluarga sendiri.
“Setelah sampai di darat barulah saya mendapatkan isteri dan anak-anak di rumah yang turut digenangi air,” katanya.
Kamarul Azam pula bersyukur kerana berjaya mengendalikan bot jirannya dengan baik sedangkan ketika itu dia bercuti sakit selama tiga bulan akibat kecederaan pada kaki.
Dalam pada itu, Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Taman Sri Damai Aman, Jaafar Embong, 55, berkata, penduduk sangat bangga dengan usaha murni dua rakan baik itu yang cukup dikenali dengan sikap suka membantu penduduk dalam kawasan kejiranan itu.
Sementara itu, Pegawai Hal Ehwal Pelajar UMP, Zainal Bahari yang turut membantu mangsa banjir di kawasan itu berkata, dengan adanya sukarelawan persis hero tidak didendangkan seperti dua 'Yo' itu cukup membanggakan penduduk setempat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!