Dewan lulus usul bahas Pasir Gudang perlu diisytihar darurat
KUALA LUMPUR - Dewan Rakyat hari ini meluluskan usul bahas bagi membolehkan Parlimen Pasir Gudang diisytiharkan darurat , susulan kejadian pencemaran bahan kimia di Sungai Kim Kim yang semakin serius.
Speaker Datuk Mohamad Ariff Md Yusof berkata, kebenaran usul itu dibuat berdasarkan kepentingan awam, selain ia perlu disegerakan.
"Saya telah meneliti perkara ini dan ia adalah berdasarkan kepentingan orang ramai dan ianya mendesak.
"Oleh demikian saya benarkan usul ini dibahaskan dan akan dibahaskan pada jam 4:30 petang ini dan saya akan benarkan perbahasan usul ini selama 60 minit," katanya kepada ahli Dewan Rakyat hari ini.
Sebelum itu, Hassan Abdul Karim (PH-Pasir Gudang) yang membacakan permohonan usul itu meminta agar Dewan mengizinkan beliau untuk menangguhkan Dewan mengikut Peraturan Mesyuarat 18 (1).
"Statistik terkini menunjukkan secara jelas pencemaran toksik telah merebak luas dan menjadikan Pasir Gudang terjejas dan tak selamat yang telah menyebabkan Kehidupan beratus ribu rakyat terjejas," katanya.
Cadangan mendapat sokongan majoriti Ahli Parlimen.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!