Djokovic mungkin tidak sertai ATP Cup
PEMAIN nombor satu dunia, Novak Djokovic tidak akan ke Sydney bagi aksi pembukaan musim ATP Cup minggu hadapan.
Djokovic sebelum ini dinamakan dalam skuad Serbia bagi saingan ATP Cup meskipun pemain berusia 34 tahun itu masih belum menyatakan pendiriannya untuk menyertai Terbuka Australia.
Ia susulan pihak penganjur meletakkan pengambilan vaksin Covid-19 diletakkan sebagai syarat kepada pemain yang mahu menyertai kejohanan tersebut.
"Djokovic kemungkinan 99 peratus tidak akan pergi ke Sydney untuk menyertai Piala ATP.
"Dia kini sedang menjalani latihan di Belgrade, tetapi dia menjelaskan ia adalah satu kejohanan yang dirindui," menurut salah seorang daripada pasukannya yang tidak didedahkan namanya.
Aksi Piala ATP di Sydney adalah kejohanan berpasukan yang menjadi permulaan tradisi bagi musim baru permainan kategori lelaki.
Serbia diundi di dalam kumpulan A bersama Norway, Chile dan Sepanyol pada kejohanan yang dijadual berlangsung pada 1 hingga 9 Januari ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!