'Mahu mereka ukir senyuman'

Wan Sukhairi (kiri) bersama NGO Khidmat Malaysia Terengganu membersihkan rumah penduduk di Perumahan Awam Kos Rendah Bukit Rangin.
Wan Sukhairi (kiri) bersama NGO Khidmat Malaysia Terengganu membersihkan rumah penduduk di Perumahan Awam Kos Rendah Bukit Rangin.
A
A
A

KUANTAN - Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Khidmat Malaysia Terengganu turun padang membantu mereka yang terjejas di daerah Kuantan dan Temerloh.

Jurucakap NGO Khidmat Malaysia Terengganu yang juga Exco Pembangunan Belia, Sukan dan NGO Terengganu, Wan Sukhairi Wan Abdullah berkata, misi bantuan disertai seramai 1,000 sukarelawan yang akan membersihkan rumah mangsa.

Menurutnya, sukarelawan ini dibahagikan kepada dua kumpulan dan kini sebahagiannya berada di Perumahan Awam Kos Rendah Bukit Rangin sejak Khamis lalu.

"Seramai 500 sukarelawan sudah menjalankan misi pembersihan di Kuantan dan Paya Besar manakala 500 lagi akan memulakan kerja pembersihan rumah mangsa banjir di Temerloh Selasa depan.

"Ketika tiba di sini, mereka menangis kerana buntu dan sedih dengan keadaan rumah. Bagaimanapun, jelas terukir senyuman- senyuman pada wajah mangsa selepas rumah dibersihkan," katanya ketika ditemui di Perumahan Awam Kos Rendah Bukit Rangin.

Sebanyak 850 rumah di perumahan itu membabitkan populasi penduduk seramai 5,000 orang.

Kawasan perumahan tersebut dinaiki air setinggi dua meter susulan hujan lebat pada 17 Disember lalu menyebabkan kesemua barangan kelengkapan rumah dan perkakas elektrik mengalami kerosakan.

Wan Sukhairi berkata, walaupun di Terengganu berdepan bencana banjir namun kejadian itu tidak seteruk di Pahang.

Artikel Berkaitan:

"Di Terengganu kita hanya tiga daerah sahaja terlibat iaitu Kemaman, Dungun dan Besut. Kawasan terbabit sudah biasa dinaiki air dan situasi terkawal serta sudah mencukupi tenaga mencukupi untuk menguruskan banjir di kawasan terbabit," katanya.

Sementara itu, jurucakap NGO Setiakawan Kaizen Tumpat, Kelantan, Roshidi Mahmud Kamaruddin berkata, seramai 30 sukarelawannya dalam misi yang mereka gelar 'misi membalas budi' di beberapa kawasan terjejas dengan banjir di daerah ini.

Katanya, bantuan itu diberikan kerana ramai sukarelawan dari Pahang membantu ketika berdepan banjir teruk di Kelantan pada 2014.

"Kita tahu bencana yang melanda memberi kesan buruk kepada mangsa yang terjejas terutama kerosakan harta benda yang menyebabkan mereka alami kerugian ribuan ringgit dan kita memahami perasaan mangsa.

"Jadi, sebab itu kita datang membantu dan ini sebagai membalas budi baik kepada masyarakat Pahang pula. Walaupun usaha ini mungkin dilihat kecil tetapi sekurang-kurangnya dapat meringankan beban yang ditanggung mangsa," ujarnya.

Penduduk, Mohd Izuan Shahril, 35, mengakui terharu kerana pertolongan rakan NGO.

Katanya, bantuan ketika ini amat diperlukan kerana kesemua kelengkapan rumah rosak akibat ditenggelami air.

"Saya gembira kerana ramai sukarelawan datang membantu membersihkan rumah, mengangkat barang, tanpa mereka saya tidak boleh menyelesaikan kerja mencuci rumah secepat ini," katanya.

NGO Setiakawan Kaizen Tumpat mengangkat tilam milik penduduk yang rosak akibat ditenggelami air ketika menjalankan kerja pembersihan rumah mangsa banjir di Perumahan Awam Kos Rendah Bukit Rangin.
NGO Setiakawan Kaizen Tumpat mengangkat tilam milik penduduk yang rosak akibat ditenggelami air ketika menjalankan kerja pembersihan rumah mangsa banjir di Perumahan Awam Kos Rendah Bukit Rangin.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!