KLANG - Seorang suami pengasuh dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Klang atas tuduhan melakukan serangan seksual terhadap anak asuahan isterinya, awal bulan ini. Mazuwan Abdul Karim bagaimanapun mengaku tidak bersalah. Berdasarkan pertuduhan, bapa kepada dua orang anak itu didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap kanak-kanak perempuan berumur 5 tahun di ruang tamu sebuah rumah, dekat sini. Perbuatan itu didakwa dilakukan pada 5 Mac lalu jam 2 petang. Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Hafizah Zahidah Abdullah mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 dan dibaca bersama Seksyen 16(1) Akta sama. Jika sabit kesalahan lelaki berusia 45 tahun itu berdepan dengan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan. Hakim, M Kunasundary membenarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 11 April depan untuk sebutan semula kes.