Beberapa kawasan di Pahang dijangka alami tekanan air rendah
KUANTAN - Hampir kesemua loji rawatan air (LRA) di daerah yang terjejas akibat banjir di negeri ini kembali beroperasi setelah ditutup sementara akibat bencana alam itu.
Ketua Pegawai Eksekutif Pengurusan Air Pahang Berhad (Paip), Saiful Zaini Mohd Bokhari bagaimanapun berkata, pengoperasian LRA itu masih dalam proses pemulihan dan dijangka pulih sepenuhnya secara berperingkat.
Menurutnya, beberapa kawasan bakal mengalami tekanan air rendah disebabkan beberapa faktor termasuk penggunaan air yang terlalu tinggi secara serentak bagi tujuan pembersihan rumah atau premis yang terjejas akibat banjir.
"Malah kejadian tanah runtuh di beberapa kawasan telah menyebabkan jajaran paip bekalan air terputus dan pecah sekali gus menyumbang kepada permasalahan ini (tekanan air rendah)," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Justeru, Saiful Zaini menasihatkan pengguna agar menggunakan air secara berhemah.
"Orang ramai boleh melayari laman sesawang Paip di www.paip.com.my dan Telegram Notis Gangguan Bekalan Air Negeri Pahang untuk mendapatkan maklumat mengenai notis gangguan bekalan air atau hubungi Pusat Khidmat Pelanggan dalam talian 09-573 9999 bagi sebarang pertanyaan dan aduan," katanya.
Sebelum ini, sebanyak 13 LRA melibatkan lima daerah di negeri ini tidak dapat beroperasi susulan kejadian banjir yang berlaku di Pahang selain peningkatan paras air sungai dan bekalan elektrik terputus.
Berikutan daripada henti tugas LRA ini, sebanyak 53,916 akaun pengguna mengalami gangguan bekalan air.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!