Wang ihsan RM1,000 diperluas untuk ketua isi rumah terjejas banjir


Penduduk setempat Tengku Aliff Sazali T. Mohd Hashim membawa dokumen penting ketika meninggalkan kediamannya yang dinaiki air di Kampung Semangat.- Foto Bernama
Penduduk setempat Tengku Aliff Sazali T. Mohd Hashim membawa dokumen penting ketika meninggalkan kediamannya yang dinaiki air di Kampung Semangat.- Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kadar Bantuan Wang Ihsan (BWI) untuk mangsa banjir akibat monsun timur laut kini ditingkatkan kepada RM1,000 daripada RM500 bagi setiap Ketua Isi Rumah (KIR) yang terjejas akibat bencana itu, kata Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Menurutnya, sejajar dengan pengumuman oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, jumlah BWI tersebut diberi bukan sahaja untuk ketua isi rumah di pusat pemindahan sementara (PPS) tetapi turut diperluas kepada ketua isi rumah yang tidak berpindah ke pusat tersebut.

“(Berikutan penambahbaikan ini), mangsa boleh menuntut BWI setiap kali bencana menimpa berbanding sebelum ini hanya sekali semasa monsun terbabit manakala bantuan kematian kepada waris mangsa dinaikkan daripada RM5,000 kepada RM10,000,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam laporan kemas kini Kementerian Kewangan padaAhad yang menyenaraikan peruntukan dan langkah tambahan diambil kerajaan bagi menangani banjir pada tahun ini.

Dalam pada itu, kementerian itu berkata, bagi menyegerakan pemberian BWI kepada mangsa banjir, Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) pada 24 Disember 2021, telah menyalurkan peruntukan awal BWI sebanyak RM26.9 juta kepada semua negeri yang terjejas.

"Selaras dengan penambahbaikan BWI, Kementerian Kewangan akan memastikan Nadma mendapat peruntukan yang mencukupi untuk memenuhi keperluan sebenar,” katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!