Perak tawar subsidi khas tangani haiwan terbiar

Nolee Ashilin (dua dari kanan) melihat kucing-kucing yang ditempatkan sempena Festival Kucing Jalanan 2021 di Cengkerik Eco Park, The Treasure @ Taman Herba pada Ahad.
Nolee Ashilin (dua dari kanan) melihat kucing-kucing yang ditempatkan sempena Festival Kucing Jalanan 2021 di Cengkerik Eco Park, The Treasure @ Taman Herba pada Ahad.
A
A
A

GOPENG - Kerajaan Perak akan menawarkan subsidi khas bagi program rawatan kesihatan haiwan terbiar terutama anjing dan kucing bermula tahun hadapan.

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Perak, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi berkata, subsidi itu antara lain untuk memandulkan haiwan bertujuan mengawal populasi.

Menurutnya, perbincangan awal dilakukan bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) terlibat yang akan membantu pelaksanaan program berkenaan.

"Menerusi program ini kita tawarkan subsidi untuk kes-kes memandulkan haiwan.

"Mungkin ia (subsidi) datang dari dua sumber sama ada kerajaan negeri atau bantuan NGO untuk kita dapatkan pengurangan caj perkhidmatan pada kadar minimum.

"Perkhidmatan seperti ini diharap dapat menggalakkan penjaga haiwan terbabit untuk lebih bertanggungjawab mengawal populasi haiwan mereka terutama apabila tidak lagi mahu menjaganya," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Festival Kucing Jalanan 2021 di Cengkerik Eco Park, The Treasure @ Taman Herba di sini pada Ahad.

Hadir sama, Penaung Meow Foodtruck, Datuk Azizul Kama Abdul Aziz; Pengerusi Meow Foodtruck, Fatin Izzaty Muhammad dan Pegawai Daerah Kinta, Meor Hezbullah Meor Abd Malik.

Artikel Berkaitan:

Nolee Ashilin (dua dari kanan) menyampaikan hadiah kepada pemenang pertandingan Festival Kucing Jalanan 2021 di Cengkerik Eco Park, The Treasure @ Taman Herba pada Ahad.
Nolee Ashilin (dua dari kanan) menyampaikan hadiah kepada pemenang pertandingan Festival Kucing Jalanan 2021 di Cengkerik Eco Park, The Treasure @ Taman Herba pada Ahad.

Nolee Ashilin berkata, peningkatan populasi haiwan jalanan kini menjadi isu utama pihak berkuasa tempatan (PBT) yang berdepan cabaran besar untuk menanganinya.

Justeru katanya, kerajaan tempatan negeri Perak juga akan menggerakkan kempen khusus untuk haiwan jalanan ini supaya mendapat sokongan daripada masyarakat melalui pendidikan dan pengetahuan.

"Kita dah fikirkan pelbagai mekanisme untuk mengurangkan populasi haiwan jalanan ini," katanya.

Sementara itu dalam ucapannya, beliau berharap, penyelamat kucing jalanan dapat memaksimumkan usaha dan memperluaskan hubungan kerjasama dengan agensi berkaitan supaya dapat membantu dan membela nasib kucing jalanan dalam skala yang lebih besar terutama ketika musim pandemik Covid-19 dan banjir.

"Saya dapat melihat pelbagai aktiviti telah dianjurkan seperti pertandingan kucing kurang upaya, kucing berhias, kucing unik dan kucing makan paling laju.

"Walaupun kucing jalanan, tetapi ia sangat menarik jika kita menguruskan dengan baik. Kerajaan negeri melihat inisiatif ini wajar diteruskan bagi membela nasib kucing jalanan seterusnya mensejahterakan ekosistem setempat," katanya.

Dalam pada itu, Azizul Kama memaklumkan ada permintaan daripada orang ramai supaya Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) membina satu rumah transit kepada kucing gelandangan seperti Petting Zoo di Gunung Lang.

"Saya sudah utarakan perkara ini kepada Meow Foodtruck jika mereka berminat untuk menguruskan rumah kucing yang akan disediakan MBI.

"Bagaimanapun perkara ini masih dalam perancangan," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!