Jauhi Sungai Kim Kim dalam jarak 5km

Pasukan Unit HazMat (Bahan Berbahaya) Angkatan Pertahanan Awam turut melakukan persiapan sebelum ke lokasi insiden pencemaran bahan kimia di Pusat Kawalan Lapangan (Ground Command Centre) Dewan Komuniti Taman Pasir Putih Pasir Gudang hari ini. - Foto Bernama
Pasukan Unit HazMat (Bahan Berbahaya) Angkatan Pertahanan Awam turut melakukan persiapan sebelum ke lokasi insiden pencemaran bahan kimia di Pusat Kawalan Lapangan (Ground Command Centre) Dewan Komuniti Taman Pasir Putih Pasir Gudang hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menasihatkan orang ramai berada dalam jarak 5 kilometer dari Sungai Kim Kim yang dicemari sisa toksik berbahaya.

Menterinya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, arahan ini sebagai langkah pencegahan agar tidak terkesan dengan udara yang dihidu daripada sisa toksik yang mencemari Sungai Kim Kim tersebut.

“Nasihat pencegahan adalah orang ramai menjauhi kawasan khususnya di 5km (paling bahaya) dari sungai Kim Kim yang kita kenal pasti dan elak masuk ke kawasan itu.

“Dapatkan maklumat terkini dari sumber yang sahih dan fasilti terdekat jika terdapat gejala pedih mata, pening, muntah, sesak nafas sehinggakan pengsan jadi kesemua ini kami memahami gejala toksik kesan keracunan itu," katanya ketika sidang media di lobi Parlimen, hari ini.

Selain itu, beliau turut menyangkal pihaknya lambat bertindak membantu mangsa pencemaran toksik di Sungai Kim Kim, Pasir Gudang.

Dr Dzulkefly berkata, rawatan perubatan diberikan sejak hari pertama kejadian itu berlaku.

“KKM bertindak sejak hari pertama lagi. Saya menghubungi Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Johor sejak hari pertama dan telah beri rawatan sejak kes, baik yang serius mahu pun yang ringan.

“Ada yang kami masukkan untuk pemerhatian jadi isu KKM bertindak lewat memang tidak benar sama sekali,” katanya.

Artikel Berkaitan:

ARTIKEL BERKAITAN: Pencemaran toksik: 209 mangsa terima rawatan, 8 di ICU

Dr Dzulkefly yang juga Ahli Parlimen Kuala Selangor turut menolak dakwaan kononnya ada mangsa yang meninggal dunia akibat pencemaran bahan kimia tersebut di Pasir Gudang.

Sejak kejadian pembuangan sisa kimia berlaku pada 7 Mac lalu, ramai individu tidak menularkan beberapa kenyataan bercanggah hingga menyebabkan panik.

Setakat ini, sejumlah 209 orang dirawat dengan lapan daripada mereka masih berada di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultan Ismail (HSI) berikutan pencemaran akibat pembuangan bahan kimia di Sungai Kim Kim di Pasir Gudang, Khamis lalu.

Berikutan itu, kerajaan juga mengarahkan semua 111 sekolah di Pasir Gudang, ditutup serta-merta mulai semalam sehingga ke satu tarikh yang akan diumumkan kelak.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!