Gergasi Merah rekrut Fazly

Fazly Mazlan pemain kelima yang berjaya direkrut Selangor FC.
Fazly Mazlan pemain kelima yang berjaya direkrut Selangor FC.
A
A
A

BEKAS pemain Johor Darul Ta'zim FC (JDT), Fazly Mazlan menjadi rekrut terbaru pasukan Selangor FC untuk mengharungi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim depan.

Perkara diumumkan Selangor FC dalam satu kenyataan yang dimuat naik di laman sesawang pasukan itu pada Ahad.

"Selangor FC mengucapkan selamat datang kepada Fazly Mazlan ke laman Gergasi Merah.

"Semoga beliau dapat mengukuhkan barisan pertahanan pasukan Gergasi Merah untuk saingan Liga Malaysia musim ini," katanya.

Untuk rekod, anak kelahiran Klang yang bermain di posisi pertahanan kiri itu merupakan pemain pasukan JDT sejak tahun 2015 dengan 36 penampilan sebelum ini dipinjamkan ke Sri Pahang FC musim lalu bagi menguatkan lagi barisan pertahanan pasukan tersebut.

Fazly atau mesra dikenali sebagai BJ juga pernah melakukan debut bersama pasukan senior Harimau Malaya pada November 2015 sewaktu usianya 21 tahun dan merupakan antara pemain muda yang berjaya membuat 15 penampilan pada ketika itu.

Dalam pada itu, Fazly berharap dia mampu membantu pasukan gergasi merah untuk mencapai misi yang sama bersama kelab dan berharap penyokong akan terus berikan sokongan kepada dirinya.

"Selangor FC dan saya memiliki misi yang sama iaitu kami ingin menang sesuatu di sini, Insya-ALLAH saya akan buat yang terbaik untuk kelab ini bagi mencapai misi tersebut.

Artikel Berkaitan:

"Saya berharap para penyokong akan terus berikan sokongan kepada pasukan walaupun ketika kami jatuh kerana itu adalah pembakar semangat untuk kami terus berjuang," katanya.

Fazly merupakan pemain kelima yang berjaya direkrut Selangor FC untuk membarisi pasukan utama selepas Gergasi Merah itu berjaya mendapatkan khidmat, Samuel Somerville, Yazan Al-Arab, Baha' Abdelrahman dan Zahril Zabri semalam.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!