E-sukan bukan lagi sukan ‘budak-budak’

E-sukan juga boleh dijadikan sebagai satu bidang sukan dan dijadikan budaya kepada anak-anak generasi sekarang. - Foto Bernama
E-sukan juga boleh dijadikan sebagai satu bidang sukan dan dijadikan budaya kepada anak-anak generasi sekarang. - Foto Bernama
A
A
A

BERSUKAN pada era kemajuan teknologi maklumat dan proses Revolusi Industri 4.0 tidak lagi berada di atas gelanggang mahupun perlu turun ke padang sebaliknya hanya memadai mempunyai telefon pintar serta jaringan internet.

Jika dahulu permainan video di atas talian sering dikaitkan dengan membazir masa dan hanya mengisi masa lapang selepas penat pulang dari sekolah.

Tidak terlepas juga bagi mereka yang sudah berumahtangga akan bersama-sama duduk di ruang tamu menggapai joystick dan berlawan dengan pasangan mereka dalam game kegemaran bagi menghilangkan rasa penat bekerja.

Permainan video sebenarnya boleh memberi kesan yang positif dari segi mental mahupun fizikal.

Tambahan pula, ia boleh dijadikan sebagai hobi dan peluang kerjaya kepada individu terbabit dan dapat memberi pulangan yang sangat lumayan.

Menurut bekas Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, e-sukan adalah satu sukan yang memberi jaminan dan masa depan yang cerah.

Jelas beliau, pada masa lalu, ramai yang anggap ia adalah sukan untuk budak-budak, tidak sihat, tidak ada masa depan.

Beliau gembira kerana seluruh dunia termasuk kerajaan Malaysia mengiktiraf kedudukan e-sukan.

Artikel Berkaitan:

Sebut sahaja nama seperti Muhd Faris Zakaria (Soloz), Sopian Sultan (XK Penjahat) dan Ahmad Fuad Razali (Fredo) yang mempunyai pengikut di laman sosial seperti Facebook sehingga mencecah lebih dua juta followers.

Sudah pasti anak muda dan para atlet e-sukan cukup mengenali nama-nama tersebut kerana mereka adalah pemain profesional dalam permainan Mobile Legend dan juga PUBG Mobile.

Kini mereka menjadi streamer sepenuh masa sebagai kerjaya dan membuktikan bahawa permainan video atas talian bukan satu perkara yang tidak bermanfaat.

Bukan nak cakap kosong, apabila mereka baru sahaja memulakan aktiviti penstriman, jumlah penonton dari pengikut sudah mencecah lebih lima ribu dan seperti Soloz pernah mencecah sehingga 100,000 viewers setelah lama tidak muncul di layar gelanggang Facebook.

Soloz juga telah dinobatkan sebagai Most Watched Creator Malaysia oleh Facebook Gaming.

Walaupun mereka tidak ditonton oleh peminat secara bersemuka, namun penstriman video secara langsung di laman media sosial seperti Facebook dan Instagram menerima ratusan ribu views, like dan share dengan begitu tinggi sehingga mereka berjaya memperoleh pendapatan bulanan sehingga RM13,000.

Dalam konteks negara tercinta iaitu Malaysia sendiri, bidang e-sukan telah menjadi tumpuan daripada pihak kerajaan di mana pelbagai inisiatif dan program berkaitan sukan ini sedang giat dijalankan.

Jika kita lihat kepada laporan Belanjawan Malaysia bagi tahun 2020 dan 2021, kerajaan memberi peruntukan bagi program e-sukan mencecah RM15 juta hingga RM20 juta setahun.

Seandainya sesebuah negara itu ingin mengasah bakat dan potensi golongan remaja mahupun dewasa, sudah pasti pelbagai cara boleh diaturkan malah ramai anak muda tempatan sudah sebaris dengan pemain profesional antarabangsa.

Tambahan pula, bagi penulis e-sukan juga dapat membuat para pemain berfikir di luar kotak untuk membuat sesuatu keputusan bagi mencapai objektif permainan supaya kemenangan atau victory berada dalam genggaman.Selain itu, ia dapat meningkatkan kemahiran sosial apabila bertemu dengan pemain lain di platform permainan tersebut.

Dengan cara ini, para pemain boleh berlatih untuk berkomunikasi dengan lebih baik serta boleh mendapat kenalan baharu daripada pelbagai latar belakang negara dan dapat meluaskan jaringan sosial mereka.

Lantas perkara ini harus kita fikirkan bersama. Walaupun sukan-sukan seperti futsal, bola sepak, bola keranjang, badminton dan tenis menjadi sukan yang banyak dipertandingkan, tidak mustahil e-sukan juga boleh dijadikan sebagai satu bidang sukan dan dijadikan budaya kepada anak-anak generasi sekarang.

Apa yang boleh disimpulkan ialah e-sukan seharusnya menjadi satu alat permainan pada zaman dunia tanpa sempadan ini.

* Aslam Husaini Malik Faizal ialah Pembantu Penerbit Digital Sinar Harian

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!