Keluarga Cina minat wayang kulit

Boon Ann (dua dari kanan) menjadi Tok Dalang, manakala isteri dan anak-anaknya akan memainkan alatan muzik untuk persembahan berkenaan.
Boon Ann (dua dari kanan) menjadi Tok Dalang, manakala isteri dan anak-anaknya akan memainkan alatan muzik untuk persembahan berkenaan.
A
A
A

KOTA BHARU - Walaupun berketurunan Cina, namun ia tidak menghalang Kang Boon Ann dan keluarganya meminati kesenian wayang kulit yang dipelopori masyarakat Melayu itu.

Boon Ann, 53, dari Kampung Tokkong, Ketereh juga merupakan Pengerusi Persatuan Wayang Kulit Sri Cindayu yang mana keahliannya melibatkan 35 orang terdiri daripada bangsa Melayu dan Cina di negeri ini.

Menurutnya, tujuan utama persatuan tersebut diwujudkan adalah untuk menjadi pelapis bagi meneruskan kesinambungan kesenian berkenaan terutama dari segi pembuatan wayang kulit dan cara persembahan.

Boon Ann mula meminati kesenian tersebut sejak berusia sembilan tahun apabila dibawa mendiang neneknya menyaksikan persembahan wayang kulit selepas musim menuai.

Boon Ann hanya bertukang di depan bengkelnya untuk menghasilkan setiap watak yang ada.
Boon Ann hanya bertukang di depan bengkelnya untuk menghasilkan setiap watak yang ada.

“Saya masih ingat, semasa mula-mula meminati dunia wayang kulit, saya menggunakan buku tulis sekolah untuk melukis watak-watak yang ada dalam persembahan itu. Saya lukis, gunting dan ikut sebagaimana watak yang ada sehingga cikgu marah sebab buku tulis tinggal kulit saja.

“Dari situlah timbulnya minat saya untuk belajar bermain wayang kulit dan muzik yang digunakan,” katanya ketika ditemui di galerinya di Kok Lanas di sini.

Menurutnya, selepas berkahwin, minat itu turut dikongsi bersama isteri, Eh Tian Eh Awang, 47, dan bapa mertuanya, Eh Awang Eh Wit, 70, serta dua anaknya, Kang Siew Lie, 27, dan Kang Xiau Ren, 24.

Artikel Berkaitan:

Kang Siew Lie (kiri) dan adiknya, Kang Xiau Ren berharap agar anak-anak muda yang lain juga akan mengikuti jejak langkah mereka satu hari nanti.
Kang Siew Lie (kiri) dan adiknya, Kang Xiau Ren berharap agar anak-anak muda yang lain juga akan mengikuti jejak langkah mereka satu hari nanti.

“Kini kami sekeluarga bermain wayang kulit. Dua anak saya belajar di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan Malaysia (Aswara). Dia turut bermain wayang kulit di Aswara,” katanya.

Boon Ann berkata, dia juga banyak menimba ilmu daripada Allahyarham Dollah Baju Merah yang merupakan Tok Dalang terkemuka di Kelantan satu masa dahulu, termasuk cara pembuatan patung watak-watak yang ada dalam persembahan berkenaan.

Dia yang turut memiliki bengkel motosikal berkata, pada awalnya, Allahyarham Dollah hanya datang ke kedainya untuk membaiki motosikal, namun selepas berkongsi minat yang sama, akhirnya arwah bersetuju mengajar Boon Ann mengenai asas-asas persembahan wayang kulit.

“Saya belajar dan akhirnya berjaya sehingga membawa kami ke seluruh negara bagi mempersembahkan wayang kulit. Kenangan yang paling manis adalah apabila kami berjaya muncul Johan Kategori Wayang Kulit Tercantik di Pesta Asian di Thailand pada tahun 2014.

“Sebelum Covid-19 melanda, kami sentiasa memenuhi permintaan di seluruh negara untuk membuat persembahan wayang kulit dengan harga berpatutan mengikut lokasi yang dipilih pelanggan,” ujarnya.

Tidak ubah bahasa

Sementara itu, Boon Ann berkata, idea dan penceritaan asas wayang kulit tidak akan diubah, namun akan ditambah dengan situasi semasa mengikut permintaan pelanggan.

Dia sekeluarga pernah bermain wayang kulit di hadapan masyarakat Cina yang tidak memahami bahasa Melayu dan loghat Kelantan, namun tetap mengekalkan keaslian bahasa kesenian berkenaan tanpa ubah ke bahasa Cina.

Ketika ditanya mengenai pembuatan patung Seri Rama, Sitadewi, Hanuman Kera Putih, Pak Dogol, Samad dan Said, Boon Ann berkata, ia memerlukankan bahan asas utama iaitu kulit lembu kampung yang akan dijemur dan dilukis sebelum dipotong, sebelum dijemurkan sehingga kering.

Antara patung-patung utama permainan berkenaan.
Antara patung-patung utama permainan berkenaan.

“Selepas itu kita akan melukis dan mewarnakan mengikut watak yang kita mahu. Biasanya paling cepat pun dua hari, paling lama pun seminggu lebih untuk saya menyiapkan satu-satu patung. Saya juga buka tempahan untuk dijadikan cenderamata dan hadiah.

“Kita jual dengan harga berpatutan bermula RM150 hingga RM500 bergantung pada watak. Paling mahal biasanya watak Seri Rama,” katanya.

Pelbagai watak dan suara berbeza juga bukan halangan kepada Boon Ann untuk menjadi Tok Dalang, malah gayanya setanding tokoh-tokoh sedia ada dalam kalangan masyarakat Melayu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!