Pemandu lori dituduh sebabkan kematian anggota PGA

Tertuduh mengaku tidak bersalah memandu dalam pengaruh dadah sehingga gagal mengawal kenderaan dan menyebabkan kematian anggota PGA.
Tertuduh mengaku tidak bersalah memandu dalam pengaruh dadah sehingga gagal mengawal kenderaan dan menyebabkan kematian anggota PGA.
A
A
A

SUNGAI PETANI - Seorang pemandu lori mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Sungai Petani, memandu di bawah pengaruh dadah dan menyebabkan kematian anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) pada Jumaat.

Tertuduh, Hairul Azman Abdullah, 40, dari Sungai Besar, Selangor, didakwa memandu di bawah pengaruh dadah jenis Methamphetamine sehingga tidak berdaya mengawal kenderaan tersebut dan menyebabkan kematian Muhamad Azimuth Azman, 34, yang bertugas sebagai anggota PGA Perlis.

Perbuatan itu dilakukan lebih kurang jam 2.09 pagi di Kilometer 79.5 Lebuh Raya Utara Selatan arah utara dalam daerah Kuala Muda pada Jumaat lalu.

Akibat perbuatan itu, tertuduh telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara minimum 10 tahun atau maksimum 15 tahun, denda antara RM50,000 hingga RM100,000 dan hilang kelayakan lesen bagi tempoh minimum 10 tahun.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Polis Diraja Malaysia, Inspektor Syed Ahmad Ridzuan Syed Zainol Abidin manakala tertuduh diwakili Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, Tengku Hezrul Anuar Tengku Abdul Samad.

Pihak pendakwaan menawarkan jaminan sebanyak RM50,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan melaporkan diri ke balai polis sebulan sekali.

Dalam rayuan, Tengku Hezrul memohon mahkamah mempertimbangkan jaminan rendah dan munasabah memandangkan tertuduh memperoleh gaji berdasarkan perjalanan, kini menyara isteri yang tidak bekerja, seorang anak berusia sembilan tahun dan ibu berusia 70 tahun.

Artikel Berkaitan:

Majistret Nadhirah Abdul Rahim membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM6,000 dengan seorang penjamin dan syarat tambahan melapor diri ke balai polis sebulan sekali sehingga kes selesai.

Sebutan semula ditetapkan pada 26 Januari 2022.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!