Rumah inap rosak, penempah jadikan deposit sebagai sumbangan

Ja’ápar berkata, beliau reda dengan ujian yang telah mengakibatkan kerosakan rumah inap yang diusahakannya. - Foto Bernama
Ja’ápar berkata, beliau reda dengan ujian yang telah mengakibatkan kerosakan rumah inap yang diusahakannya. - Foto Bernama
A
A
A

DENGKIL - Susulan bencana banjir 18 Disember lepas yang ‘merosakkan’ segalanya dan merugikan ramai usahawan, pemilik Riverview Homestay bersyukur apabila rata-rata pelanggannya yang telah membuat tempahan awal untuk menginap di inap desa miliknya itu memutuskan untuk tidak menuntut semula deposit masing-masing, sebaliknya menganggap ia sebagai sumbangan jariah.

Datuk Ja’apar Mansor berkata, rumah inapnya itu cukup popular dalam kalangan ‘kaki pancing’, malah ia telah penuh ditempah sehingga April tahun depan, dengan kebanyakan mereka sudahpun membayar deposit untuk penginapan itu.

Menurutnya, ramai dalam kalangan mereka juga tidak mahu menerima pemulangan wang deposit itu, dan sebaliknya mereka menganggap ia sebagai sumbangan amal apabila dapat tahu bahawa rumah inapnya itu rosak akibat banjir.

“Alhamdulillah ada hikmah di sebalik ujian besar yang pertama kali saya lalui selepas hampir lapan tahun rumah inap ini beroperasi,” kata bekas Setiausaha Kewangan Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) berusia 64 tahun itu ketika ditemui Bernama di sini.

Bencana banjir yang berlaku menyebabkan beberapa kawasan di daerah Sepang terjejas apabila air Sungai Langat melimpah susulan hujan lebat berterusan, menyebabkan banyak kerugian besar dan kerosakan harta benda ramai.

Ja’apar melakukan kerja-kerja pembersihan setelah rumah inap desanya mengalami kerosakan melibatkan barangan perabot, kenderaan dan barang elektrik, selain 80 ekor ayam kampung miliknya turut hilang. - Foto Bernama
Ja’apar melakukan kerja-kerja pembersihan setelah rumah inap desanya mengalami kerosakan melibatkan barangan perabot, kenderaan dan barang elektrik, selain 80 ekor ayam kampung miliknya turut hilang. - Foto Bernama

Berkongsi detik dilanda bencana itu, Ja’apar berkata, air dari Sungai Langat yang terletak berhampiran rumah inapnya itu mula melimpah kira-kira jam 11 pagi Sabtu semasa beliau bersama keluarganya berada di rumah.

“Kami segera meninggalkan rumah sebab air naik dengan cepat sehingga cecah paras ketinggian lelaki dewasa,” kata bapa kepada sembilan anak itu.

Artikel Berkaitan:

Ja’ápar berkata, beliau reda dengan ujian yang telah mengakibatkan kerosakan rumah inap, perabot, kenderaan dan barang elektrik, serta 80 ekor ayam kampung miliknya mati, dan menyifatkan ia sebagai bencana besar kali kedua selepas kali terakhir berlaku kira-kira 50 tahun lepas.

Bekas anggota perkhidmatan awam selama 15 tahun itu berkata, ujian ini tidak mematahkan semangatnya untuk kembali memulakan operasi rumah inap yang diusahakan bersama anak-anak, kerana beliau sudah mempunyai pelanggan tetap, ada antaranya telah 20 kali menginap di situ.

Katanya, rumah inap di atas sebidang tanah seluas 0.52 hektar itu menjanjikan suasana desa kepada pelanggan selain menyediakan pelbagai kemudahan seperti pondok memancing, kawasan lapang untuk barbeku, kolam renang dan dapur.

Ja’apar menyifatkan tragedi banjir itu sebagai bencana besar kali kedua selepas kali terakhir berlaku pada 50 tahun lepas.
 - Foto Bernama
Ja’apar menyifatkan tragedi banjir itu sebagai bencana besar kali kedua selepas kali terakhir berlaku pada 50 tahun lepas.
 - Foto Bernama

Sementara itu merujuk kepada kerja-kerja pembersihan, Jaápar berkata, musibah yang menimpa itu telah mendapat perhatian pelbagai badan bukan kerajaan (NGO) sebaik banjir surut Isnin lepas (20 Disember).

“Ramai (NGO) tawarkan sumbangan khususnya tenaga kerja. Ada juga pelajar universiti, dan hari ini kira-kira 40 anggota Angkatan Tentera Malaysia datang bantu.

“Terima kasih tidak terhingga saya ucapkan kerana mereka bergotong-royong bersihkan kawasan rumah inap dan rumah saya,” katanya. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!