Banjir: Kerajaan wajar pertimbang bantuan khas RM5,000

Dua sukarelawan membersih rumah penduduk di Taman Perumahan Bukit Rangin pada Ahad. - Foto Bernama, gambar kecil: Mohd Sharkar Shamsudin
Dua sukarelawan membersih rumah penduduk di Taman Perumahan Bukit Rangin pada Ahad. - Foto Bernama, gambar kecil: Mohd Sharkar Shamsudin
A
A
A

KUANTAN - Kerajaan sewajarnya mempertimbangkan pemberian bantuan khas RM5,000 kepada setiap keluarga yang terjejas teruk akibat banjir kali ini.

Exco Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi negeri, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin berkata, ia berikutan ramai mangsa terutama penduduk yang tinggal berhampiran sungai termasuk di Temerloh mengalami kerosakan harta benda sepenuhnya akibat bencana itu.

Menurutnya, ramai mangsa tidak sempat menyelamatkan harta benda ekoran air banjir yang naik berlaku begitu cepat dan berarus deras.

"Dalam keadaan itu, sudah tentu menyukarkan mereka untuk bangkit semula kerana belum berakhir kemelut ekonomi kesan penularan Covid-19, kini mereka diuji pula dengan banjir.

"Justeru Kerajaan Pusat dan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob wajar mempertimbangkan bantuan khas RM5,000 buat setiap keluarga yang terjejas teruk ekoran banjir kali ini," katanya dalam kenyataan di Facebook, pada Isnin.

Mohd Sharkar yang juga Ahli Dewan Undangan negeri (ADUN) Lanchang berkata, rata-rata mangsa merupakan golongan berpendapatan rendah dan memerlukan bantuan kerajaan bagi memulihkan kembali kehidupan mereka.

"Bantuan RM5,000 itu nanti, membolehkan mereka membeli dan menganti baharu peralatan rumah dan perkakasan elektrik yang rosak. Saya percaya, mangsa terlibat akan berhemah dalam perbelanjaan wang itu demi memulihkan kehidupan mereka.

"Apa yang penting kerajaan perlu segera membantu rakyat untuk bangkit semula," katanya.

Artikel Berkaitan:

Tambah beliau, kerajaan disaran menangguhkan sementara projek-projek mega yang ingin dilaksanakan seperti projek 5G dengan memberikan tumpuan penuh kepada usaha membantu rakyat yang terjejas teruk ekoran musibah banjir kali ini.

"Saya percaya, bantuan RM5,000 itu akan memberikan senyuman kepada mangsa terlibat kerana bantuan kewangan itu amat diperlukan untuk mereka bangkit kembali," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!