Dubai Expo 2020 platform promosi pelancongan Terengganu
KUALA TERENGGANU - Kerajaan Negeri melalui Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu mengambil langkah mempromosikan pelancongan negeri ini ke peringkat antarabangsa dengan menyertai Dubai Expo 2020 di Dubai.
Exco Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman berkata, ekspo bermula Ahad hingga 1 Januari itu sebagai usaha Terengganu untuk menembusi pasaran negara Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan juga Timur Tengah.
Menurutnya, penyertaan Terengganu dalam ekspo antarabangsa itu juga merupakan platform terbaik buat kerajaan negeri mengenalpasti peluang perniagaan dan pelaburan berkaitan sektor pelancongan.
“Selain itu, kita juga harap dapat menjalinkan perkongsian maklumat berhubung industri pelancongan dengan fokus meningkatkan permintaan perjalanan ke Terengganu, selain mempromosikan negeri ini sebagai destinasi pelancongan mesra Muslim,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Ariffin berkata, pelbagai keunikan pelancongan Terengganu terutama ekopelancongan seperti Tasik Kenyir, Setiu Wetland, pulau dan pantai akan diperkenalkan di sana sebagai tarikan kepada pelancong luar negara.
“Kecantikan khazanah alam semula jadi ini akan dipromosikan pada ekspo tersebut menerusi paparan digital dan elektronik,” katanya.
Expo Dubai 2020 yang berlangsung dari 1 Oktober 2021 hingga 31 Mac 2022 di Dubai melibatkan penyertaan lebih 190 buah negara dan organisasi dari seluruh dunia.
Antara pengisian sepanjang ekspo berlangsung adalah kempen promosi pelancongan negeri bersama media UAE, libat urus bersama penggiat industri pelancongan Dubai, Tourism Talk, lawatan ke pavilion luar negara dan pelbagai lagi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!