LZNK perlu RM29 juta untuk capai sasaran kutipan RM244 juta

Syeikh Zakaria (kiri, depan) dan Syeikh Fadzil (kanan, depan) bergambar bersama wakil daripada 17 syarikat korporat yang menyerahkan zakat perniagaan bernilai RM8.112 juta di Menara Zakat.
Syeikh Zakaria (kiri, depan) dan Syeikh Fadzil (kanan, depan) bergambar bersama wakil daripada 17 syarikat korporat yang menyerahkan zakat perniagaan bernilai RM8.112 juta di Menara Zakat.
A
A
A

ALOR SETAR - Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) menjangkakan kutipan zakat di negeri itu mampu mencapai sasaran RM244 juta sebelum tahun 2021 berakhir.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) LZNK, Datuk Syeikh Zakaria Othman berkata, masih berbaki tiga hari untuk pihaknya menggerakkan usaha bagi memperolehi RM29 juta lagi bagi mencapai sasaran itu.

"Ia bukan sesuatu yang mustahil kerana berdasarkan kutipan LZNK pernah merekodkan RM40 juta pada hari terakhir sebelum tahun berakhir.

“Saya yakin sasaran tahun ini boleh dicapai biarpun ada pihak masih terkesan akibat pandemik Covid-19. Kutipan zakat pada tahun lepas adalah RM224 juta, di mana tahun ini sasaran dengan kenaikan sebanyak RM20 juta, disebabkan trend kutipan zakat yang tinggi daripada zakat perniagaan yang menyokong lonjakan kutipan,” katanya dalam sidang akhbar selepas majlis penyerahan zakat perniagaan oleh syarikat korporat di Menara Zakat di sini pada Isnin.

Hadir sama, Mufti Kedah, Datuk Syeikh Fadzil Awang merangkap Ahli Lembaga Zakat Negeri Kedah.

Mengulas lanjut, Syeikh Zakaria berkata, setakat Isnin, kutipan zakat yang direkodkan adalah sebanyak RM215 juta, manakala agihan kepada golongan sasar mencecah RM199 juta.

“Kami tidak meletakkan sasaran yang tinggi disebabkan negara masih berada dalam tahun ketiga pandemik Covid-19. Kesannya tetap ada biarpun tidak ketara.

“Ada beberapa syarikat yang pertama kali bayar zakat di Kedah, saya percaya mereka memilih negeri ini kerana skim agihan yang berimpak tinggi dan berinovasi menarik minat pembayar zakat baharu dengan nilai yang besar,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, agihan pada tahun ini agak rendah disebabkan beberapa projek besar tidak dapat dilaksanakan akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Antara yang tergendala adalah projek pembinaan sekolah, membina dan membaik pulih rumah yang diperuntukkan RM12 juta setahun,” katanya lagi.

Pada majlis berkenaan, sebanyak 17 buah syarikat korporat menyerahkan zakat perniagaan dengan nilai keseluruhan RM8.112 juta.

Antara syarikat terbabit adalah Pharmaniaga Berhad sebanyak RM2 juta, Environment Idaman Sdn Bhd (RM995,515), Bank Kerasama Rakyat (M) Sdn Bhd (RM815,200), Bank Pembangunan Malaysia Bhd (RM730,672) serta Maybank Islamic Berhad sebanyak RM540,571.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!