Pasukan Liga di Malaysia perlu fokus pembangunan bakat tempatan
PERSATUAN Bola Sepak Pulau Pinang (FAP) pada Isnin mencadangkan supaya pengurusan pasukan-pasukan negeri memberi lebih banyak peluang kepada pemain tempatan dalam aksi saingan liga-liga Malaysia.
Presiden Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang (FAP), Datuk Abdul Rashid Ismail berkata, arena bola sepak tanah air perlu lebih memberikan perhatian kepada pembangunan bakat dari peringkat akar umbi.
Menurutnya, budaya membawa masuk terlalu banyak pemain import boleh menjejaskan peluang bakat-bakat tempatan baharu daripada beraksi dalam liga-liga bola sepak tanah air.
“Sebagai persatuan (bola sepak), kita perlu hidupkan semula arena bola sepak dari peringkat bawah... Kalau kita tidak mencari bakat di peringkat akar umbi, kita tidak akan boleh melahirkan pemain-pemain bola sepak yang baik.
"Bagi saya, kita tidak perlu mengambil terlalu banyak pemain import sebaliknya cungkil bakat-bakat tempatan yang sedia ada dalam negara...pada masa yang sama, kita perlu melantik beberapa jurulatih import untuk bekerjasama dengan jurulatih tempatan sebagai usaha untuk mendedahkan cara permainan dan teknik yang berbeza kepada pemain,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mempengerusikan Mesyuarat Agung Tahunan FAP di Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang (MSNPP) pada Ahad.
Abdul Rashid berkata, FAP akan terus berusaha untuk melaksanakan pencarian bakat, menganjurkan pertandingan dan latihan dari peringkat bawah supaya dapat mengetengahkan bakat-bakat tempatan untuk berkesempatan beraksi di liga-liga utama di Malaysia.
Beliau berkata, setakat ini, terdapat 70 pasukan bola sepak yang berdaftar dengan FAP namun kurang penglibatan daripada golongan wanita dan orang kurang upaya (OKU). - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!