Hampir 100 peratus nelayan Kedah mencarum Perkeso
ALOR SETAR - Hampir 100 peratus nelayan di Kedah mencarum dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) di bawah perlindungan Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri.
Exco Pertanian dan Industri Makanan, Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Azman Nasrudin berkata, seramai 2,521 mencarum secara automatik melalui potongan elaun sara hidup yang diterima daripada kerajaan.
Katanya, kurang dari 10 peratus lagi adalah nelayan yang mempunyai lesen tetapi tidak menerima elaun sara hidup.
"Jadi yang dapat elaun itu automatik mencarum, cuma yang tengah fokus sekarang tidak dapat elaun supaya mereka mendaftar dengan Perkeso," katanya ketika ditemui selepas Program Janji Selamat Kekal Selamat di Sektor Perikanan bersama nelayan Kuala Kedah di Kompleks LKIM, Kubang Rotan di sini, pada Isnin.
Menurutnya, caruman secara automatik kepada nelayan itu hanya berjumlah RM232 untuk tempoh setahun.
"Tahun depan kerajaan akan beri subsidi 80 peratus, jadi dari jumlah itu cuma RM40 yang pencarum perlu bayar untuk setahun.
"Jumlah ini sedikit sahaja berbanding manfaat yang akan diterima. Tidak ada sebab untuk nelayan atau golongan yang bekerja sendiri tidak mencarum dengan Perkeso," katanya.
Azman berkata, pihaknya juga akan mencari mekanisma agar semua pekerja sendiri dalam sektor pertanian dan perikanan dapat mencarum secara automatik.
"Untuk pesawah contohnya, boleh cadangkan agar dibuat pemotongan secara automatik melalui subsidi padi.
"Kami akan adakan perbincangan bersama pihak Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) dan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) untuk merealisasikan hasrat berkenaan," katanya.
Sementara itu, Pengarah Perkeso Kedah, Mohamad Haron Othman berkata, pihaknya menyasarkan 30 peratus jumlah pencarum dalam skim pekerjaan sendiri pada tahun 2022.
"Setakat ini hanya 6.67 peratus iaitu 14,734 orang yang bekerja sendiri dari semua sektor di Kedah mencarum dengan Perkeso. Untuk tahun hadapan, besar harapan saya agar jumlah ini meningkat ke 30 peratus daripada jumlah keseluruhan 220,800 orang bekerja sendiri di negeri Kedah.
"Memang ada yang tidak nampak manfaat mencarum dengan Perkeso ini, tetapi bila kita jatuh sakit secara tiba-tiba kita akan nampak kepentingan mencarum. Kepada berhasrat mencarum boleh datang ke pejabat Perkeso atau membuat pendaftaran secara dalam talian di matrix.perkeso.gov.my," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!