ATM nafi video tular bantuan banjir oleh United Nations

ATM menafikan video tular bantuan banjir oleh UN.
ATM menafikan video tular bantuan banjir oleh UN.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menafikan bahawa penularan video memaparkan pergerakan beberapa trak tiga tan berwarna putih serta berlogo 'United Nations' (UN) atas keterlibatan pertubuhan antarabangsa itu membawa masuk bantuan banjir kepada Malaysia.

Panglima Angkatan Tentera Malaysia, Jeneral Tan Sri Affendi Buang, video berdurasi satu minit yang tular pada 7 Disember dan Sabtu lalu adalah tidak benar.

"Paparan video tersebut merupakan proses 'Final Acceptance Test' (FAT) yang dilaksanakan oleh ATM sebelum kenderaan itu diaturgerakkan ke Lubnan untuk kegunaan kontinjen MALBATT 850 yang melaksanakan misi pengaman di bawah United Nations Interim Force In Lebanon (UNIFIL)," katanya melalui kenyataan pada Isnin.

Affendi berkata, masyarakat diminta tidak membuat sebarang andaian atau menularkan sebarang perkara yang tidak pasti serta berita palsu kerana ia boleh mengundang pelbagai spekulasi dan mencetuskan suasana panik dalam kalangan masyarakat.

"Adalah ditegaskan bahawa mana-mana individu yang didapati menyebarkan berita palsu boleh di dakwa di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998," katanya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!