Dua PPS masih dibuka di Kelantan
KOTA BHARU - Tinggal dua lagi pusat pemindahan sementara (PPS) yang masih beroperasi di Kelantan menempatkan 218 mangsa banjir melibatkan daerah Pasir Mas sehingga petang Isnin.
Maklumat berdasarkan aplikasi Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang dikemas kini sehingga jam 4.01 petang.
Kesemua mangsa termasuk 67 kanak-kanak dan seorang bayi serta seorang orang kurang upaya (OKU) ditempatkan di PPS di Sekolah Kebangsaan (SK) Tok Deh dan SK Gual Periok di daerah itu.
Sementara itu, dua jalan di daerah itu iaitu Jalan Pengkalan Rakit-Batu Karang di Kilometer (KM) 3 hingga 3.8 dan Jalan SK Gual Tok Deh (KM0.05 hingga 0.9) masih ditutup kepada semua kenderaan.
Menurut laman web https://publicinfobanjir.water.gov.my, tiga lagi jalan di daerah Kuala Krai iaitu Jalan Jirat (KM0.4), jalan masuk ke Kampung Baru Pahi (KM0.6) dan Jalan Bukit Sireh/ Kampung Bedal/Kuala Nal (KM6) diletakkan papan tanda amaran.
Sinar Harian pada Isnin melaporkan, dua daerah di negeri ini melibatkan Gua Musang dan Kuala Krai serta kawasan rendah di sekitarnya diramalkan banjir pada Jumaat dan Khamis ini.
Ramalan awal itu dikeluarkan Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRABN) bagi memberi peringatan kepada penduduk terlibat agar lebih peka dan bersedia berdepan banjir.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!