KPM teliti keperluan tempatkan bilik utama sekolah di tingkat atas
KUALA LUMPUR - Kementerian Pendidikan (KPM) sedang mengkaji kemungkinan untuk menetapkan supaya bilik utama di sekolah seperti pejabat pentadbiran, bilik guru, bilik komputer dan bilik buku teks, ditempatkan di tingkat atas bangunan sekolah, susulan kejadian banjir luar jangka yang berlaku di beberapa kawasan ketika ini.
Menteri Kanan Pendidikan, Senator Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin menerusi perkongsian di Facebook berkata, banyak sekolah yang belum pernah dilanda banjir sebelum ini, kini dinaiki air akibat bencana itu.
“Pagi ini kami ke Bentong, Pahang untuk gotong-royong membersihkan SMK (Sekolah Menengah Kebangsaan) Bentong. Saya dimaklumkan ini kali pertama SMK Bentong ditenggelami banjir dengan paras air hampir mencecah tingkat dua.
“Fasiliti sekolah terjejas teruk. Keseluruhan perabot dan kelengkapan sekolah bagi bilik-bilik yang terletak di tingkat bawah mengalami kerosakan teruk, termasuk bilik guru dan bilik komputer," katanya.
Radzi turut menzahirkan ucapan terima kasih atas kerjasama semua pihak yang terlibat dalam gotong-royong itu yang turut disertai guru, kakitangan sekolah, sukarelawan Guru Pewaris Negara, badan bukan kerajaan (NGO) serta Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
"KPM akan memastikan penyelenggaraan infrastruktur serta penggantian perabot dan kelengkapan dapat dilaksanakan segera," katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!