Nurul Azurin Mazlan bangga aksi pertama tanpa bolos

Nurul Azurin - Foto FB PFA Malaysia
Nurul Azurin - Foto FB PFA Malaysia
A
A
A

BUKAN sahaja gembira diturunkan, malah penjaga gol skuad bola sepak wanita kebangsaan, Nurul Azurin Mazlan berbangga kerana gawangnya tidak ‘bocor’ pada penampilan sulung bersama kelab Liga Wanita Karnataka, Misaka United FC di India, semalam.

Nurul Azurin menyifatkan pencapaian dilakar pada perlawanan menyaksikan pasukannya membenam cabaran Bengaluru Braves 4-0 sebagai langkah kanan terhadap permulaan karier bola sepaknya di India.

"Hari ini hari keenam (berada di India), perlawanan semalam kami menang 4-0, clean sheet bagi penampilan pertama (bermain bagi kelab India)," katanya ketika dihubungi.

Pemain berusia 21 tahun yang mempunyai kontrak hingga 31 Jan tahun depan seterusnya berazam mahu meneruskan rentak cemerlangnya yang dijangka turun buat kali kedua menentang Kickstart FC Khamis ini.

Sementara itu, Nurul Azurin menjelaskan penghijrahannya ke India bermula selepas melihat hantaran di laman Twitter yang ketika itu sedang mencari pemain antarabangsa sebelum beliau cuba menghantar resume ke kelab Misaka United FC.

Beliau berkata kelab, berkenaan kemudiannya bersetuju untuk melamarnya selepas terpikat dengan prestasi ditampilkan ketika mewakili negara di Kelayakan Piala Asia Wanita 2022 di Palestin, September lalu.

Ditanya mengenai perbezaan bermain di Malaysia, Pemain Wanita Terbaik Anugerah Bola Sepak Kebangsaan (ABK) 2015 dan 2018 itu berkata, corak latihan tidak jauh beza dengan situasi di sini kecuali faktor cuaca yang sejuk hingga mencecah paras 14 darjah celcius pada satu-satu masa.

Dalam pada itu, beliau juga menzahirkan penghargaan buat barisan penaja yang menghulurkan bantuan penghijrahannya ke India.

Artikel Berkaitan:

Bantuan itu antaranya daripada Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ti Lian Ker, Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM), Persatuan Pemain BolaSepak Wanita Malaysia dan bekas pemain kebangsaan Hairuddin Omar yang memberi bantuan pek makanan sepanjang keberadaannya di India. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!