Penyaluran BWI diselaraskan di peringkat PKOB negeri: Nadma

Ketua isi rumah yang terjejas banjir akan menerima Bantuan Wang Ihsan sebanyak RM1,000, manakala waris mangsa bencana yang meninggal dunia menerima RM10,000. - Foto Bernama
Ketua isi rumah yang terjejas banjir akan menerima Bantuan Wang Ihsan sebanyak RM1,000, manakala waris mangsa bencana yang meninggal dunia menerima RM10,000. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Penyaluran Bantuan Wang Ihsan (BWI) akan diselaraskan di peringkat Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) negeri dengan kerjasama Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri.

Perkara itu diputuskan dalam Mesyuarat Pasukan Petugas Pengurusan Pasca Banjir dan Kesiapsiagaan Menghadapi Gelombang Kedua Bencana Banjir pada Isnin yang dipengerusikan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) selaku urus setia.

Pusat Kawalan Operasi Bencana Pusat (NDCC) Nadma dalam satu kenyataan memaklumkan, penyaluran bantuan akan dilaksanakan melalui tiga kaedah iaitu sama ada menerusi serahan tunai di PKOB negeri, serahan tunai rumah ke rumah atau pemindahan secara dalam talian.

"BWI sebanyak RM1,000 kepada Ketua Isi Rumah (KIR) dan RM10,000 kepada waris mangsa bencana yang meninggal dunia telah disalurkan kepada pihak negeri dan sehingga hari ini peruntukan sebanyak RM34 juta telah disalurkan kepada negeri berdasarkan anggaran yang dibuat PKOB negeri-negeri terlibat," menurut kenyataan itu pada Isnin.

Nadma berkata, menurut amaran Ramalan Cuaca Signifikan 28 Disember hingga 3 Januari 2022 oleh Jabatan Meteorologi (MetMalaysia), Luruan Monsun yang sedang berlaku dijangka berterusan sehingga 3 Januari 2022.

Selain itu, ia berpotensi menyebabkan hujan berterusan di timur Sabah sehingga 2 Januari 2022 dan barat Sarawak dari 29 hingga 31 Disember ini.

"Angin kencang dan laut bergelora di perairan Pantai Timur Semenanjung, utara Sarawak dan Sabah diramal berterusan sehingga 2 Januari tahun depan.

Mesyuarat harian Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Pusat bilangan 9 pada Isnin sekali lagi memberi peringatan berkaitan pengaktifan PKOB negeri-negeri yang dijangka terkesan," katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan:

ARTIKEL BERKAITAN: Bantuan Wang Ihsan mangsa banjir dibayar mulai hari ini

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!