Tabik untuk hero yang tak didendang
BENCANA banjir teruk melanda di beberapa negeri baru-baru ini memang mengejutkan semua orang.
Air sungai yang begitu cepat melimpah sehingga menenggelamkan kediaman dan deretan kedai dalam tempoh singkat akhirnya menyaksikan lebih 40 nyawa terkorban dan kerugian harta benda mencecah puluhan juta ringgit.
Ketika ramai mangsa banjir terperangkap di rumah dan mengharapkan pertolongan, tanpa kita sedari sebenarnya ada golongan tertentu yang sanggup mengorbankan masa dan tenaga untuk menghulurkan bantuan.
Tanpa menghiraukan penat lelah atau keselamatan sendiri, badan bukan kerajaan (NGO), persatuan dan orang perseorangan ini tampil meredah arus sungai untuk melakukan kerja menyelamat.
Mereka bukan sahaja bantu mengeluarkan mangsa yang terperangkap, malahan ada yang menghulurkan bantuan makanan dan menyediakan tempat perlindungan sementara untuk mangsa.
Selain itu, ada juga ahli-ahli persatuan bergotong-royong menyediakan makanan untuk dihantar kepada mangsa yang sedang kesejukan dan kelaparan.
Malah, selepas air surut, kumpulan sukarelawan membantu kerja pembersihan.
Lihatlah bagaimana pengorbanan Allahyarham Ahmad Zaki Mahbar, seorang anggota amal Pas yang pitam dan tidak sedarkan diri sebelum meninggal dunia ketika mengikut misi bantu pembersihan pasca banjir di Bukit Changgang, Selangor dan kawasan sekitarnya.
ARTIKEL BERKAITAN: Dijemput Ilahi ketika bantu mangsa banjir
Sukarelawan seperti Allahyarham Ahmad Zaki inilah sentiasa berada di barisan paling hadapan.
Mereka tidak mengharapkan publisiti ataupun wang ringgit. Misi utama adalah membantu dan memastikan mangsa selamat dan dibekalkan makanan.
Negara terhutang budi dengan semangat ditonjolkan mereka. Lebih terharu lagi mereka tidak memilih warna kulit atau agama dalam setiap misi bantuan yang dijalankan.
Tabik kepada hero yang tak didendang ini. Jasa dan kebaikan mereka dikenang sampai bila-bila.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!