Banjir termenung jangan dilupa

Mangsa banjir, Azlimi Ayub, 40, melahirkan perasaan bimbang ekoran banjir tidak surut walaupun telah melalui cuaca panas selama dua hari di kawasan Kampung Seri Tanjung. Gambar diambil pada 22 Disember lalu. - Foto Bernama
Mangsa banjir, Azlimi Ayub, 40, melahirkan perasaan bimbang ekoran banjir tidak surut walaupun telah melalui cuaca panas selama dua hari di kawasan Kampung Seri Tanjung. Gambar diambil pada 22 Disember lalu. - Foto Bernama
A
A
A

HAMPIR seluruh dunia dikejutkan dengan banjir besar melanda beberapa negeri di Malaysia sejak seminggu lalu.

Selepas banjir membawa semua barangan, tinggallah cebisan sampah.

Itulah bukti selaju mana air merosakkan barangan dan itulah bermulanya titik ukur kerugian yang terpaksa dialami.

Di saat semua pihak sedang tertumpu ke arah banjir besar, ada beberapa kumpulan masyarakat yang masih menunggu bagaimana nasib mereka apabila rumah yang didiami berdepan masalah banjir termenung.

Istilahnya masih sama iaitu banjir, namun ia banyak perbezaannya. Banjir biasa membawa lumpur dan sebagainya, mungkin paling lama pun seminggu.

Namun berlainan pula dengan banjir termenung, paling cepat air surut adalah dua minggu.

Itulah yang dilalui mereka apabila hujan tidak kira sama ada lebat atau tidak, kawasan kediaman mereka pastinya bertakung dengan air dan kadang-kala terpaksa mengharungi dengan jarak lebih 300 meter untuk masuk ke kawasan rumah.

Kenderaan terpaksa diparkir di tepi jalan utama tanpa memikirkan tahap keselamatan dan sebagainya, ia lebih baik daripada terpaksa menanggung kerugian ribuan ringgit disebabkan ditenggelami air termenung.

Artikel Berkaitan:

Bagaimana kehidupan mereka untuk keluar bekerja dengan pakaian rasmi, namun terpaksa merendam kaki ke dalam air sehingga paras betis dan lutut selama berminggu-minggu.

Bercakap pula mengenai masalah kesihatan, jika berlaku kecemasan, ambulans tidak boleh masuk sehingga ke depan rumah.

Ada dalam kalangan mereka mengalami masalah alergi kulit dan gatal-gatal disebabkan terpaksa mengharungi air bertakung setiap hari.

Sistem perparitan kebanyakannya dijadikan isu utama apabila bercakap mengenai banjir termenung.

Walaupun ada sesetengah kawasan ada parit, namun masalah ini masih juga berlaku.

Ada juga yang terpaksa tinggal di pusat pemindahan sementara (PPS) lebih lama daripada orang lain walaupun air surut setiap kali berlakunya banjir pada musim tengkujuh kerana kediaman mereka masih lagi digenangi air.

Sejauh mana kerajaan merancang untuk menyelesaikan masalah ini sedangkan banjir termenung berlaku setiap setahun, paling minimum dua hingga tiga bulan sekali berdasarkan taburan hujan di sesetengah kawasan.

Ada penduduk lebih 30 tahun mengalami masalah berkenaan saban tahun dan sudah sebati dengan situasi itu, namun masih tiada jalan penyelesaian.

Malah ada dalam kalangan mereka terpaksa ‘ubah᾿ kediaman bagi memastikan air yang masuk tidak menjejaskan barangan yang ada di dalam rumah dan terpaksa menanggung kerugian ribuan ringgit, namun masalah masih juga tidak selesai.

Bila tibanya musim tengkujuh atau hujan berterusan, mulalah mereka mengemas rumah, membeli bekalan makanan dan menyediakan baju-baju basahan untuk memudahkan pergerakan mereka keluar dari rumah untuk bekerja dan sebagainya.

Mereka boleh dikatakan berdepan dengan banjir hampir setiap dua hingga tiga bulan sekali, walaupun ia tidaklah sebesar bah yang melanda melibatkan sungai-sungai utama, namun kesannya tetap sama.

Ada dalam kalangan mereka yang mengambil inisiatif mengorek tanah di kawasan kediaman untuk memberi laluan kepada air yang bertakung, namun usaha itu tidak dapat membantu untuk jangka masa panjang.

Kerajaan perlu menilai kembali sejauh mana masalah ini dapat diselesaikan.

Cakap-cakap di kedai kopi mengatakan ia berpunca dari pembangunan tidak terancang, kawasan tanah rendah, perparitan dan sebagainya.

Namun penduduk yang tinggal di kawasan-kawasan banjir termenung ini kebanyakannya mempunyai hati yang cekal dan tabah, mereka tidak mampu lagi memikirkan cara penyelesaiannya. Hanya mampu berserah.

Kerajaan perlu lakukan kajian menyeluruh melibatkan pembangunan di sesuatu kawasan terutamanya melibatkan kesan jangka masa panjang dan pendek, dalam erti kata lain, sediakan payung sebelum hujan.

Kepada mangsa banjir sama ada banjir besar mahupun banjir termenung, ujiannya tetap sama, cabarannya juga tiada tandingannya.

Apa yang penting, kecekalan perlu sentiasa ada dan percaya apa yang ALLAH SWT berikan itu mempunyai seribu satu hikmah yang tersembunyi. Salam hormat untuk semua Keluarga Malaysia.

* Siti Fatihah Awang ialah wartawan Sinar Harian Kelantan

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!