‘Sesudah makan rasuah, mereka bermegah’

Ameer Ali Mydin
Ameer Ali Mydin
A
A
A

SUBANG JAYA - Zaman sekarang orang tidak lagi malu melakukan rasuah, malah bermegah dengan menceritakan salah laku itu kepada kenalan dan sahabat handai.

Pengarah Urusan Mydin Mohamed Holdings Berhad (Mydin), Datuk Wira Dr Ameer Ali Mydin berkata, pemikiran seperti itu harus diubah segera dan rakyat harus memandang rasuah sebagai satu ‘taboo’ yang memalukan.

“Saya berpendapat kempen mencegah rasuah yang digerakkan oleh Rasuah Busters harus dipuji kerana isu ini boleh membunuh negara dan jiwa individu secara perlahan,” katanya.

Sehubungan itu, beliau mahu bekerjasama dalam kempen itu kerana misi membanteras rasuah bukan sahaja terletak pada bahu penguat kuasa, ia juga adalah tugas semua rakyat Malaysia.

Sekitar suasana Konvoi #RasuahBusters yang dijalankan di Pasar Tani Stadium Shah Alam pada 12 Disember lalu.
Sekitar suasana Konvoi #RasuahBusters yang dijalankan di Pasar Tani Stadium Shah Alam pada 12 Disember lalu.

“Kita semestinya tidak mahu rasuah menjadi endemik, kita mesti hapuskan rasuah ini dan tugas ini bukan kerja satu orang sahaja, ia memerlukan bantuan dari semua pihak tidak kiralah cikgu sekolah, penguat kuasa dan sebagainya.

“Tugas saya pula sebagai pengarah urusan, saya perlu tunjukkan contoh yang baik kepada anak-anak buah saya supaya mereka bekerja dengan penuh integriti dan telus,” katanya ketika ditemui kru Rasuah Busters baru- baru ini.

Beliau sering berpesan kepada pekerja beliau yang mengambil rasuah ini tidak berkat dan rezeki juga tidak akan bertambah dengan mengambil ‘duit tepi.’

Artikel Berkaitan:

“Saya selalu pesan pada keluarga dan anak-anak buah, jangan ambil rasuah kerana rasuah tiada barakah, katakan kita ambil RM100 tetapi tiba-tiba motosikal rosak, maka kerosakan itu perlu dibayar,” katanya.

Ameer berpendapat, rasuah akan merosakkan segala macam pembangunan yang dirancang dan juga jenayah terbesar di dunia.

“Rasuah ini bukan sahaja boleh rosakkan negara, ia juga rosakkan jiwa individu itu sendiri di mana maruahnya tergadai hanya kerana wang ringgit yang tidak kekal lama,” katanya lagi.

Beliau yang sudah lama menceburkan diri dalam dalam arena perniagaan turut akui pernah mengalami situasi di mana perlu berhadapan dengan rasuah.

Beberapa kenderaan Konvoi #RasuahBusters yang mewarnai jalan raya seluruh Malaysia menyampaikan mesej antirasuah kepada masyarakat.
Beberapa kenderaan Konvoi #RasuahBusters yang mewarnai jalan raya seluruh Malaysia menyampaikan mesej antirasuah kepada masyarakat.

“Kami tak mahu bayar, jadi sesetengah projek kami jadi lambat dan tergendala, tetapi tidak mengapa kerana kami mengikuti peraturan dan undang-undang kerajaan,” katanya.

Dalam pada itu, Mydin menaja empat lokasi Konvoi #RasuahBusters di lokasi tertentu pada siri jelayah di Melaka, Pahang, Pulau Pinang dan Kelantan.

Antara lokasi yang ditaja adalah Mydin MITC Melaka, Ayer Keroh pada 26 Disember lalu dan Mydin Mall Jengka, Pahang pada 3 Mac 2022 untuk program singgah santun Konvoi #RasuahBusters manakala dua lagi lokasi di Mydin Mall Bukit Mertajam, Pulau Pinang pada 20 Februari 2022 dan Mydin Mall Tunjong, Kelantan pada 31 Mac 2022 untuk program Kompas.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!