Waspada Omicron sudah makin hampiri kita
KETIKA bencana banjir belum pulih sepenuhnya dan kerja-kerja pembersihan masih giat dilakukan, jangan dilupakan bahaya varian baharu Covid-19, Omicron yang dilaporkan sudah berada di dalam komuniti.
Seperti yang diumumkan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar baru-baru ini, satu lagi kes Omicron berlaku di Sarawak pada Jumaat melibatkan lelaki warganegara China berusia 38 tahun.
Kes tersebut kemungkinan adalah jangkitan tempatan memandangkan pesakit itu tidak mempunyai sejarah perjalanan ke luar negara dalam tempoh tiga tahun.
Ini bermakna Omicron sudah berada di sekeliling kita dan adalah tidak mustahil kes-kes Covid-19 akan terus meningkat dalam tempoh terdekat.
Sebelum ini, kes Omicron pertama di negara kita telah dikesan di Malaysia pada awal bulan ini membabitkan seorang pelajar bukan warganegara Malaysia yang mempunyai rekod perjalanan dari Afrika Selatan.
Setakat semalam, Malaysia telah merekodkan sebanyak 49 kes Omicron.
Daripada jumlah tersebut, 30 kes (61 peratus) melibatkan pelancong yang pulang dari Arab Saudi.
Oleh itu, kita berharap pihak kerajaan mengambil berat akan perkembangan terkini ini bagi mengelakkan ia merebak menjadi lebih serius sehingga tidak terkawal.
Salah satu langkah yang mesti diambil kerajaan ialah mempercepatkan suntikan dos penggalak kepada semua golongan.
Selain itu, mengenakan tindakan yang lebih ketat terhadap kawalan di pintu masuk antarabangsa serta membuat saringan ke atas golongan yang berisiko tinggi.
Bagaimanapun, peranan orang ramai juga tidak kurang pentingnya dengan terus mengamalkan prosedur operasi standard (SOP) seperti memakai pelitup muka, menjaga penjarakan sosial, kerap membasuh tangan dengan menggunakan sanitasi.
Kita mestilah sentiasa berwaspada bukan sahaja menghindari daripada serangan virus Covid-19 yang sedia ada, malahan mesti menjauhkan diri daripada varian Omicron yang jauh lebih bahaya dan cepat meragut nyawa kita.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!