‘Tak pernah ambil insurans bencana alam’
PUCHONG - Rata-rata mangsa banjir di Kampung Batu 12 di sini mendedahkan bahawa mereka tidak pernah mengambil insurans bencana alam sama ada kediaman ataupun premis perniagaan mereka.
Salah seorang mangsa banjir yang ditemui, Eyanzal Arsat, 41, berkata, dia mengetahui wujudnya insurans bencana tetapi tidak pernah melanggannya.
“Saya tak jangka kawasan rumah yang saya diami ini akan mengalami banjir seteruk ini. Sebelum ini, banjir yang paling teruk pernah berlaku pada tahun 1995 tetapi air tidak pernah naik sampai ke rumah.
“Bagaimanapun, selepas kejadian ini saya akan ambil insurans bencana alam untuk kediaman.
“Saya takut kejadian seperti itu akan berulang,” katanya yang merupakan jurujual produk minuman ketika ditemui Sinar Harian pada Ahad.
Caruman perlindungan atau insurans bencana alam ini melibatkan kejadian banjir dan tanah runtuh manakala harta benda pula termasuk kediaman serta kenderaan bermotor.
Perkara sama turut diakui, Zalina Sharip, 54, mengatakan bahawa dia tidak pernah mengambil insurans bencana alam untuk kediamannya.
Menurutnya, dia tidak mengetahui adanya insurans berkenaan dan tidak pernah melihat orang mengambilnya.
“Saya juga tidak menjangkakan rumah saya boleh banjir. Jadi, saya tengah berfikir untuk mengambil atau tidak selepas ini.
“Ia kerana kita tidak mengetahui bila kejadian seperti ini akan berulang,” ujarnya.
Dalam pada itu, Mohd Anuairul Azizan, 37, berkata, dia juga tidak pernah mengambil insurans bencana alam melibatkan kediaman memandangkan kejadian banjir sebelum ini tidak seteruk sebagaimana yang berlaku baru-baru ini.
“Kali terakhir banjir berlaku pada tahun 1995 tetapi kali ini, paling teruk sehingga barang-barang tidak sempat diselamatkan.
“Kereta, perkakas elektrik, motosikal habis rosak. Jadi, insya-ALLAH selepas ini saya akan ambil insurans bencana alam,” ujarnya.
Pekerja bengkel kenderaan, Muhammad Aima Arif, 21, pula berkata, dia difahamkan majikannya juga tidak pernah mengambil insurans bencana alam melibatkan premis tempatnya bekerja.
Muhammad Aima berkata, kejadian banjir pada kali ini sememangnya di luar jangkaan apabila premis tempat dia bekerja tenggelam sama sekali berbanding banjir sebelum ini hanya berada pada paras buku lali sahaja.
“Mungkin selepas ini bos (majikan) akan kaji dulu sama ada untuk menyewa bengkel di lokasi yang lebih jauh daripada banjir atau mengambil insurans bencana alam.
“Jika kami masih menyewa di sini mungkin bos akan ambil insurans bencana alam ini tetapi kalau pindah ke lokasi yang tidak berlaku banjir mungkin insurans itu tidak diperlukan,” katanya.
Seorang lagi mangsa banjir yang hanya mahu dikenali sebagai Fatin berkata, dia tidak mengetahui adanya insurans bencana alam dan bercadang untuk berbuat berbuat demikian.
“Jadi selepas ini, saya akan mencari ejen insurans yang berkaitan untuk memudahkan urusan dalam membuat pampasan sekiranya kejadian banjir seperti ini kembali berulang,’ ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!