Ibu derita sakit buah pinggang cekal besarkan anak sawan
KOTA BHARU - Seorang ibu muda di Kampung Panji di sini terus cekal membesarkan anaknya yang disahkan menghidap penyakit epilepsi atau sawan walaupun dalam keadaan dirinya sendiri menderita penyakit buah pinggang kronik tahap empat, sejak setahun lalu.
Wanita berkenaan, Siti Nuramziah Ramli, 24, menjaga bayinya, Mohammad Wafie Muazakki Mohammad Khairul Azhar yang berusia setahun tujuh bulan bersama suami, Mohammad Khairul Azhar Rosly, 21, dengan menumpang di rumah sewa keluarga mereka.
Siti Nuramziah berkata, derita penyakitnya bermula sejak dia berusia tiga tahun apabila menjalani pembedahan bagi membuang batu karang di dalam pundi kencing.
"Keadaan makin kritikal ketika saya mengandungkan Mohammad Wafie Muazakki dan semasa usia kandungan lima bulan saya dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) serta koma selama sebulan.
“Saya mengalami sakit kepala yang teruk sebelum mendapat tahu menghidap penyakit buah pinggang. Kemudian saya dimasukkan ke ICU selama sebulan sebelum dipindahkan ke Unit Rawatan Koronari (CCU) HRPZ II selama dua bulan bagi menjalani rawatan.
“Selepas dua bulan, keadaan saya kembali stabil dan dijangka menjalani pembedahan bagi melahirkan anak kami namun bayi ini lahir secara normal dengan berat 1.2 kilogram (kg) iaitu lebih awal daripada tarikh pembedahan ditetapkan,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Panji, di sini, pada Isnin.
Ujar Siti Nuramziah, dia dan suaminya menerima dugaan sekali lagi apabila anak mereka pula disahkan menghidap penyakit sawan ketika berusia dua bulan sehingga sekarang.
“Anak saya tidak dapat berjalan dan bercakap. Dia hanya terbaring dan selalu demam dengan suhu yang sangat tinggi serta mengalami kekejangan otot badan.
“Berat badannya pula hanya enam kilogram," luah wanita trsebut.
Sementara itu, Mohammad Khairul Azhar berkata, dia sebelum ini berkhidmat dalam Rejimen Askar Wataniah namun terpaksa berhenti kerja sejak setahun lalu kerana isteri dan anaknya yang memerlukan perhatian khusus.
“Saya kini hanya mengambil upah sebagai ejen ‘dropship’ dan pendapatan bergantung kepada hasil jualan.
“Setiap bulan saya perlukan lebih RM1,000 untuk membeli keperluan lampin pakai buang dan susu anak kami selain kos ulang alik ke hospital setiap kali menjalani rawatan hemodialisis isteri serta janji temu di hospital.
“Mujur isteri menerima bantuan penyakit kronik dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM250 sebulan yang sedikit sebanyak dapat meringankan beban ditanggung selain adik-beradik turut membantu,” katanya.
Bagi yang ingin menghulurkan sumbangan boleh salurkan ke Bank Islam Siti Noramziah Ramli 03018021767422 atau menghubunginya di talian 01117878765.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!