Sediakan Kertas Putih Bencana, bentang di Parlimen
SHAH ALAM - Kertas Putih yang mengandungi agenda bencana negara perlu disediakan untuk dibahaskan di Parlimen supaya pengurusan bencana di negara ini dapat dilaksanakan dengan lebih baik sekali gus mengelakkan kejadian berulang.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang Pasir, Faiz Fadzil berkata, menerusi agenda berkenaan, kerajaan perlu sedia peruntukan lebih besar untuk menangani bencana yang boleh diramal.
Menurutnya, bencana termasuk banjir dan tanah runtuh yang berlaku sejak akhir-akhir ini berkait rapat dengan perubahan iklim yang memerlukan tindakan lebih proaktif sebelum berlakunya kejadian lebih buruk, bukan hanya menguruskan bencana semata-mata.
“Kertas Putih untuk bencana perlu ada kerana bencana seperti banjir, tanah runtuh bukan perkara baru.
"Peruntukan lebih besar perlu disediakan. Dalam Bajet 2022 bagi Kementerian Alam Sekitar dan Air tidak mencukupi untuk sediakan lebih banyak peruntukan bagi rancangan tebatan banjir," katanya ketika Program Berani Semuka bertajuk Bencana Alam: Adakah Malaysia Bersedia? anjuran Sinar Harian disiarkan secara langsung di platform digital Sinar Harian, pada Isnin.
Program tersebut turut menampilkan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Mohd Rafiq Mohd Abdullah sebagai pendebat.
Faiz menegaskan, kerajaan perlu ada tindakan lebih berani, komitmen dan agenda negara untuk menyelesaikan masalah alam sekitar dengan mewujudkan akta khas.
"Perubahan iklim yang dikatakan melibatkan negara ini juga perlu dilihat dengan serius di peringkat Persekutuan,” katanya.
Mengulas kesediaan negara berdepan bencana, beliau menyifatkan Malaysia masih belum bersedia berdepan bencana berdasarkan kegagalan kerajaan di peringkat Persekutuan menyelaraskan aset pengurusan bencana.
Katanya, Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) sepatutnya lebih berperanan membuat penyelarasan terhadap semua agensi-agensi utama pengurusan bencana termasuk soal bekerjasama dengan kerajaan negeri terlibat untuk menggerakkan bantuan dengan lebih cepat.
“Kesungguhan politik tidak ada. Menteri kata Malaysia tidak terkesan dengan perubahan iklim, sedangkan bencana yang berlaku seperti tanah runtuh di Cameron Highland, kepala air di Yan semua itu berkait dengan perubahan iklim.
“Jabatan Meteorologi sudah beri amaran taburan hujan yang tinggi. Mereka (kerajaan Persekutuan) tidak cakna termasuk dalam hal meningkatkan jumlah aset sehinggakan semua dibawa ke pantai timur untuk persediaan musim banjir di sana. Maknanya aset (pengurusan bencana) tidak cukup. Aset tidak cukup menandakan Malaysia tidak bersedia (berdepan bencana),” katanya.
Menurutnya, Malaysia perlu menekankan agenda ke arah persediaan mengelakkan berlakunya bencana seperti banjir.
“Jangan mempertaruhkan nyawa rakyat dengan tidak berikan fokus peruntukan yang lebih untuk pengurusan bencana. Komunikasi antara kerajaan dan rakyat perlu dipertingkatkan daripada sudut amaran lebih besar impaknya.
“Tingkatkan amaran bencana. Amaran hujan ada, tapi ancaman banjir tidak ada. Ini menyukarkan penduduk untuk mengambil tindakan sewajarnya,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!