Perubahan cuaca dikhuatiri bantut proses pembersihan pasca banjir
SHAH ALAM - Kerja-kerja pembersihan bagi pasca banjir di beberapa negeri khususnya Lembah Klang masih berlangsung meskipun sudah masuk hari ke sembilan.
Ini kerana, impak daripada banjir besar menyebabkan proses pemulihan kawasan-kawasan terjejas khususnya penempatan penduduk mengambil tempoh yang agak lama.
Namun buat masa ini, boleh dikatakan rata-rata penduduk terjejas sudah hampir selesai operasi bagi bahagian dalam rumah termasuk pengasingan sisa-sisa banjir.
Bagaimanapun, sampah-sampah sisa banjir yang dilonggokkan di luar masih banyak dan sedang menunggu giliran untuk diangkut ke kawasan pelupusan sampah.
Keadaan itu menyebabkan tidak banyak perubahan yang boleh dilihat di kawasan-kawasan yang terjejas akibat kejadian banjir besar.
Ditambah dengan keadaan cuaca hujan yang berlaku dalam tempoh ini, menyebabkan penduduk berdepan kebimbangan sekiranya bencana bakal berulang.
Ini tentunya akan membantutkan proses pembersihan total kawasan kediaman mereka.
Kerisauan ini tentunya berasas apabila hujan lebat berlaku lebih sejam yang melanda kawasan Kajang petang semalam dilapor menyebabkan kawasan Pekan Kajang dilanda banjir kilat.
Sebelum itu awal pagi semalam juga turut tular telah berlaku peningkatan air yang mendadak Sungai Lui, Hulu Langat.
Bagaimanapun Ketua Zon Empat Hulu Langat JBPM Selangor, Shahrin Yusmar Mat Yusof dilapor berkata, beliau dan anggotanya telah membuat pemantauan di lokasi terbabit dan mendapati terdapat sedikit kenaikan tetapi sudah surut sepenuhnya.
Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia, Muhammad Helmi Abdullah juga dilapor berkata, pada masa sama terdapat sistem cuaca tekanan rendah di Laut China Selatan.
Katanya, keadaan itu berpotensi menyebabkan hujan berterusan di timur Sabah sehingga 2 Januari depan dan barat Sarawak pada 29 hingga 31 Disember ini, manakala di Johor, Pahang, Terengganu dan Kelantan pada 30 Disember hingga 3 Januari depan.
Ia berdasarkan analisis Model Penyelidikan dan Ramalan Cuaca, Jabatan Meteorologi Malaysia (MMD-WRF); Pusat Eropah untuk Ramalan Cuaca Julat Sederhana (ECMWF) dan Sistem Ramalan Global (GFS).
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!