Zakat untuk mangsa banjir di Pahang, Kelantan

Nor Azizah (lapan, kiri) bersama para sukarelawan memungah bungkusan makanan ke dalam kenderaan dan akan diagihkan kepada mangsa banjir di Mentakab, Pahang. - FOTO SINAR HARIAN
Nor Azizah (lapan, kiri) bersama para sukarelawan memungah bungkusan makanan ke dalam kenderaan dan akan diagihkan kepada mangsa banjir di Mentakab, Pahang. - FOTO SINAR HARIAN
A
A
A

KOTA BHARU - Sejumlah RM40,000 wang zakat akan diagihkan kepada mangsa banjir di Pahang dan Kelantan oleh Pertubuhan Suri Prihatin Pengkalan Chepa bermula pada Selasa.

Pengerusi Pertubuhan Suri Prihatin Pengkalan Chepa, Datin Seri Nor Azizah Sulaiman berkata, zakat berkenaan diterima badan bukan kerajaan (NGO) berkenaan daripada orang persendirian.

Katanya, zakat akan diagihkan kepada mangsa-mangsa banjir bagi meringankan bebanan dan emosi mereka yang diuji dengan bencana itu.

“Untuk permulaan, Pertubuhan Suri Prihatin Pengkalan Chepa akan berkonvoi ke Mentakab, Pahang bagi mengagihkan pemberian zakat kepada 30 penerima di sana yang akan menerima RM100 setiap seorang.

“Mereka yang dipilih layak menerima zakat akibat kehilangan dan kemusnahan harta benda akibat banjir,” katanya ketika ditemui pemberita di Food Bank Suri Prihatin Pengkalan Chepa di Kemumin, di sini, pada Selasa.

Menurut beliau, agihan zakat selebihnya akan diberikankepada penerima di Kelantan sebagai persediaan menghadapi banjir yang dijangka melanda daerah Gua Musang dan Kuala Krai serta kawasan rendah di sekitarnya pada Khamis serta Jumaat ini.

“Sama-sama berharap dan mendoakan semoga tidak ada banjir berlaku di Kelantan dan pada masa sama perlu berwaspada ketika banjir pada musim tengkujuh.

“Pada Selasa, kami akan bertolak bersama 30 sukarelawan Suri Prihatin Pengkalan Chepa dengan menggunakan tujuh pacuan empat roda bukan sahaja bagi menyampaikan wang zakat malah bantuan bakul makanan kepada mangsa banjir yang diharapkan sedikit sebanyak mampu meringankan beban mereka,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Tambah beliau, Misi Bantuan Khas Banjir membawa bekalan makanan seperti beras, gula dan tepung serta surah Yasin.

“Keperihatinan kami ini juga bertujuan memberi sokongan emosi supaya mangsa tabah menghadapi ujian getir akibat banjir.

“Kami menerima sumbangan berjumlah RM15,000 untuk misi ini dan akan bertolak ke Pahang pada jam 6.30 pagi Selasa serta dijangka tiba pada jam 3.30 petang hari sama,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!