Puspakom tambah waktu operasi di dua cawangan
SHAH ALAM - Bagi meningkatkan kemudahan dan keselesaan pelanggannya, cawangan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) di Wangsa Maju dan Johor Bahru akan menjalankan operasi selama tujuh hari seminggu bermula 15 Mac (esok).
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Shukor Ismail berkata, Puspakom sentiasa mengambil berat tentang keperluan semua pihak dan penambahbaikan itu dilaksanakan selaras dengan kehendak pelanggan di dua cawangan terlibat.
Beliau berkata, langkah ini juga merupakan antara inisiatif yang diambil Puspakom dalam memberi perkhidmatan terbaik buat pelanggannya.
"Dua cawangan ini akan menjalankan operasi selama tujuh hari seminggu bermula jam 8 pagi hingga 5 petang.
"Ini merupakan inisiatif kami dalam menangani kesesakan di sesetengah cawangan yang menerima jumlah kehadiran kenderaan begitu tinggi pada waktu atau hari-hari tertentu," katanya dalam satu kenyataan.
Mengulas lanjut, Shukor berkata keputusan berkenaan juga dibuat susulan daripada maklum balas yang diterima oleh Puspakom semasa menganjurkan '#welistenwecara Hari Bertemu Pelanggan' sebelum ini.
Beliau berkata, Puspakom sentiasa prihatin dan peka terhadap sebarang cadangan yang dilontarkan oleh orang awam bagi menambahbaik operasi agensi berkenaan.
"Kami percaya inisiatif ini dapat memudahkan perancangan jadual pemeriksaan kenderaan pelanggan kami dengan lanjutan waktu operasi ini,"katanya.
Dalam pada itu, Shukor berkata pelaksanaan lanjutan waktu operasi ini juga dijangka akan diperluaskan secara berperingkat ke beberapa cawangan lain yang menerima jumlah kenderaan begitu tinggi pada setiap hari
Namun begitu, beliau berkata Puspakom juga akan mengkaji semula inisiatif dan waktu operasi tersebut dari masa ke semasa bagi memastikan ia dapat memberi manfaat sebaiknya di samping mencapai kos secara efisyen tanpa membazirkan waktu serta tenaga.
"Sehubungan itu, Puspakom juga menggalakkan pelanggan untuk membuat temu janji dalam talian MyPUSPAKOM terlebih dahulu agar dapat menguruskan masa dengan lebih baik.
"Ia juga dapat mengawal jumlah kehadiran kenderaan pada satu-satu masa di cawangan-cawangan Puspakom di bandar-bandar utama. Bagaimanapun kehadiran pelanggan secara walk-in masih diterima," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!