Rangnick kecewa Manchester United tak menyengat
PENGENDALI sementara Manchester United, Ralf Rangnick tidak berpuas hati dengan prestasi hambar para pemain The Red Devils ketika seri 1-1 menentang kelab corot Liga Perdana Inggeris (EPL), Newcastle United di St James' Park.
Newcastle terlepas beberapa peluang terbaik selain persembahan luar biasa penjaga gol David De Gea menyelamatkan Rangnick kekalahan pertamanya sebagai bos kelab sensasi Inggeris tersebut.
“Saya langsung tidak menyukai persembahan dipamerkan para pemain Manchester United dalam perlawanan berintensiti tinggi ini.
"Hari ini kami tidak mengawal permainan kecuali untuk beberapa saat. Ini semua mengenai tenaga, fizikal dan siapa yang memenangi bola kedua.
"Sejujurnya dalam semua kawasan kami tidak berada pada tahap terbaik. Namun sesuatu yang positif ialah kami mendapat mata tetapi prestasi perlu lebih baik selepas ini,” kata pengendali dari Jerman itu yang masih menghela nafas lega apabila melebarkan rekod tanpa kalah dalam semua kejuaraan kepada empat perlawanan.
Pelawat kelihatan tidak selesa setiap kali Newcastle agresif dan Rangnick, yang memulakan momentum kemenangan 1-0 ke atas Crystal Palace dan Norwich City, mempertahankan keputusannya untuk kembali kepada formasi 4-2-3-1 menentang Newcastle United.
“Hari ini ia bukan soal formasi – ia adalah soal sejauh mana agresif kami. Anda perlu bersedia dan boleh memenangi pertarungan langsung itu dan ini tidak selalunya berlaku.
"Jika anda mahu berdaya saing di sini, anda perlu mendapatkan fizikal dan ini tidak berlaku dalam banyak bahagian permainan pada perlawanan ini. Kami tidak sepatutnya mencari alasan sebaliknya kami perlu menjadi lebih baik dan lebih fizikal," katanya.
Pada perlawanan itu, The Magpies mendahului seawal minit ketujuh menerusi Allan Saint-Maximin sebelum
Edinson Cavani menyamakan kedudukan pada minit ke-71'.
Sementara itu, pengendali Newcastle United, Eddie Howe mengakui kecewa ketumpulan penyudah dalam memanfaatkan peluang walaupun memuji Saint-Maximin, yang memberikan tuan rumah pendahuluan awal sebelum Cavani menyamakan kedudukan.
“Kami sangat kecewa kerana kami berhak untuk menang. Saint-Maximin melaksanakan pelan permainan dengan cemerlang. Saya fikir kami sangat bagus dan tidak layak untuk dibolosi.
"Sememangnya dengan seseorang seperti Saint-Maximin, anda mahu dia memegang bola sepanjang masa. Apabila dia di padang, tiada sesiapa yang seperti dia. Kunci kejayaan kami ialah cuba mencipta peluang untuknya menjaringkan gol," katanya.KEPUTUSAN
Newcastle United 1-1 Manchester United
Saint-Maximin (7')
Cavani (71')
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!