2021 tahun penuh liku,cabaran bagi diplomasi negara

Hubungan diplomatik Malaysia dengan negara luar berbeza kisahnya apabila diuji dengan pelbagai dugaan yang menjadi antara tumpuan utama media tempatan dan global.(Gambar hiasan)- Foto 123rf
Hubungan diplomatik Malaysia dengan negara luar berbeza kisahnya apabila diuji dengan pelbagai dugaan yang menjadi antara tumpuan utama media tempatan dan global.(Gambar hiasan)- Foto 123rf
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sungguhpun Malaysia mendepani cabaran pandemik Covid-19 dengan agak baik pada 2021, senario hubungan diplomatik dengan negara luar berbeza kisahnya apabila diuji dengan pelbagai dugaan yang menjadi antara tumpuan utama media tempatan dan global.

Pada awal tahun, krisis diplomatik tercetus selepas mahkamah Malaysia memutuskan seorang ahli perniagaan Korea Utara diekstradisi ke Amerika Syarikat (AS) bagi menghadapi pertuduhan pengubahan wang haram, yang melanggar sekatan dikenakan AS ke atas negara itu

Susulan keputusan mahkamah itu, Korea Utara bertindak balas dengan memutuskan semua hubungan diplomatik dengan Malaysia atas alasan Malaysia “bekerjasama” dengan AS dalam keputusan mengekstradisi ahli perniagaan terbabit.

Malaysia turut bertindak balas dengan Kementerian Luar Malaysia (Wisma Putra) menyatakan kekesalan dengan keputusan Korea Utara itu, dan sekaligus bertindak menutup kedutaan Malaysia di Pyongyang serta merta.

Malaysia sebenarnya telah menghentikan operasi kedutaannya di Pyongyang pada 2017 berikutan kes pembunuhan Kim Jong Nam, saudara tiri pemimpin tertinggi Korea Utara Kim Jong Un di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Dengan terputusnya hubungan diplomatik di antara kedua-dua negara, Malaysia mengarahkan kakitangan diplomatik, bukan diplomatik serta keluarga mereka meninggalkan Malaysia dalam tempoh 48 jam.

Episod dramatik itu telah meletakkan Malaysia antara tumpuan media asing, selain Korea Utara sendiri yang sememangnya kerap muncul dengan ancaman pelancaran ujian peluru berpandu dan kenyataan pemimpinnya yang sering mencetuskan kontroversi.

Belum reda insiden ketegangan di antara Malaysia dan Korea Utara, hubungan diplomatik Malaysia dan China pula menjadi fokus berita antarabangsa apabila 16 pesawat tentera udara China mencerobohi ruang udara Malaysia di perairan Sarawak, menghampiri Beting Ali.

Artikel Berkaitan:

Pencerobohan yang tidak wajar itu menimbulkan bantahan keras daripada Malaysia dengan bantahan diplomatik dihantar ke Beijing dan Duta Besar China ke Malaysia Ouyang Yujing juga turut dipanggil oleh Wisma Putra.

Pencerobohan itu bukanlah sesuatu yang baharu, dengan Ouyang sekali lagi dipanggil oleh Wisma Putra selepas kapal China pula dilaporkan telah menceroboh perairan negara di pesisir Sabah pada Oktober.

Sungguhpun berlaku konflik, Malaysia dan China tetap terus berusaha memantapkan hubungan dua hala. Bekas Menteri Luar Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan penggantinya Datuk Seri Saifuddin Abdullah pernah melakukan lawatan kerja ke China atas jemputan rakan sejawatan mereka, Wang Yi, masing-masing sekitar April dan Disember.

Selain dua episod di luar dugaan seperti di atas, Malaysia, yang juga ahli anggota ASEAN berpengaruh dilihat memainkan peranan penting bersama-sama dengan negara anggota badan serantau dan rakan dialognya yang lain, dalam membantu mencari penyelesaian kepada krisis di Myanmar -- memulihkan undang-undang dan ketenteraman awam, dan memastikan kembalinya kerajaan demokrasi di negara itu.

Sejak rampasan kuasa 1 Februari yang menggulingkan kerajaan pimpinan Aung San Suu Kyi, Myanmar menyaksikan ketenteraman awam terjejas apabila pasukan keselamatan dan rakyatnya mula bertempur menyebabkan sekurang-kurangnya 1,000 orang dilaporkan terkorban.

Justeru, Konsensus Lima Perkara dicapai menerusi pertemuan pemimpin-pemimpin Asean di Jakarta, Indonesia pada 24 April dalam usaha membantu menangani krisis politik Myanmar.

Bagaimanapun, tiada sebarang kemajuan berlaku berikutan sikap acuh tidak acuh Myanmar sekaligus mendesak Asean untuk buat pertama kalinya sepakat dengan keputusan untuk tidak menjemput wakil Junta negara itu ke Sidang Kemuncak Asean ke-38 dan ke-39 dan Sidang Kemuncak Berkaitan pada 26 hingga 28 Oktober.

Keputusan pengecualian itu adalah satu di luar jangkaan yang pernah dibuat oleh rakan-rakan anggota Asean dan sejarah ini tercipta pada 2021.

Selain itu, berikutan pengunduran tentera AS dari Afghanistan, diikuti oleh pejuang Taliban memasuki Kabul pada 15 Ogos dan seterusnya menguasai negara itu buat kali pertama dalam tempoh 20 tahun, Malaysia terus mengikuti perkembangan negara konflik itu dengan teliti.

Sehingga kini, kerajaan Malaysia masih mengikuti rapat setiap perkembangan yang berlaku walaupun masih juga belum memberi pengiktirafan kepada kerajaan baharu Afghanistan itu.

Melangkah ke suku ketiga tahun ini, Malaysia dan beberapa negara jirannya dikejutkan pula dengan kemunculan pakatan keselamatan strategik tiga hala AUKUS, singkatan tiga negara - Australia-United Kingdom-Amerika Syarikat - untuk menentang China yang semakin meningkat pengaruhnya di Indo-Pasifik.

Malaysia dan Indonesia lantang menyuarakan kebimbangan dan kegusaran mereka kerana AUKUS diramalkan boleh mencetus perlumbaan persenjataan nuklear di rantau ini.

Perikatan keselamatan Indo-Pasifik baharu ini disebut, antaranya bagi membolehkan perkongsian lebih besar keupayaan pertahanan, termasuk dapat membantu melengkapkan Australia dengan kapal selam berkuasa nuklear.

Sungguhpun, 2021 akan berakhir sebagai tahun yang sukar dilupakan untuk keharmonian diplomasi negara, 2022 juga kemungkinan tahun yang mencabar berikutan banyak lagi isu-isu yang memecahbelahkan kesetiakawanan di peringkat rantau Asia Tenggara mahupun di persada antarabangsa, termasuklah isu berkenaan perubahan iklim dan Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP). - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!