Petronas: Prospek pemulihan masih lemah, tidak menentu pada 2022
KUALA LUMPUR - Petroliam Nasional Bhd (Petronas) menjangka perjalanan ke arah pemulihan permintaan yang berterusan kekal lemah dan tidak menentu pada tahun depan berikutan pasaran minyak membuat penyesuaian terhadap landskap jangka pendek dan panjang, didorong pembukaan semula aktiviti ekonomi ketika pandemik Covid-19.
Naib Presiden bagi Perolehan Kumpulan, Freida Amat berkata, meskipun peralihan tenaga yang dipercepatkan akan mewujudkan cabaran selanjutnya kepada perniagaan minyak dan gas tradisional, peserta industri harus inovatif dan mengekalkan kos-kompetitif bagi memastikan projek dan pengeluaran boleh dilaksanakan demi kelestarian industri dalam iklim ekonomi yang tidak menentu.
“Petronas meramalkan prospek yang positif bagi aktiviti pelantar penggerudian dan unjuran stabil terhadap fabrikasi struktur tetap dan kemudahan dasar laut, membekal talian paip, perkhidmatan dalam air, serta aktiviti tidak beroperasi.
“Bagaimanapun unjuran sederhana dijangkakan ke atas pemasangan tongkang apungan,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh syarikat minyak dan gas negara itu bersempena penerbitan laporan Prospek Aktiviti Petronas (PAO) 2022-2024 pada Selasa.
Laporan tahunan PAO itu menyatakan pandangan mengenai trend industri, prospek permintaan dan aktiviti yang akan datang daripada perniagaan huluan, hiliran, gas dan tenaga baharu syarikat itu.
Dalam laporan itu, Petronas berkongsi pendapatnya yang dijangka memberikan impak positif terhadap industri.
Antara yang ditekankan adalah dorongan Petronas kepada penggunaan tenaga bersih yang selanjutnya dan mendapatkan profil rendah karbon berikutan penglibatan syarikat itu dalam perniagaan hidrogen, menawarkan peluang kepada penggiat industri peralatan dan perkhidmatan minyak dan gas (OGSE).
“Petronas Ventures selaku cabang modal usaha niaga syarikat ini akan terus memacu inovasi teknologi dan mengekalkan kelebihan daya saing untuk menyokong minyak utamanya dan perniagaan bagi pertumbuhan selanjutnya.
“Kecekapan sebagai pengupaya dalam usaha memaksimumkan aset adalah kunci kepada penambahbaikan yang berterusan dalam operasi.
"Tahap kecekapan tertinggi dalam amalan penyampaian projek memberikan prospek projek yang lebih memberangsangkan, mencipta nilai kepada industri dan mengekalkan kelebihan daya saing dan kemampanan,” menurut syarikat itu. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!