Terengganu perlukan 1,500 beg darah sebulan
KUALA NERUS – Terengganu memerlukan sekurang-kurangnya 1,500 beg darah sebulan untuk digunakan bagi menyelamatkan nyawa pesakit yang memerlukan tranfusi darah khususnya melibatkan kes-kes kecemasan.
Ketua Unit Transfusi Darah Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Dr Mohd Muhaimin Kambali berkata, jumlah itu meliputi penggunaan kira-kira 50 beg darah sehari di semua hospital kerajaan di Terengganu.
Menurutnya, setakat ini jumlah bekalan darah di Terengganu masih mencukupi walaupun berlaku pola penurunan pendermaan darah pada musim tengkujuh.
“Hasil kerjasama dan bantuan dari pelbagai agensi serta orang awam, bekalan darah di Terengganu setakat ini masih stabil dan mencukupi.
“Sekarang, kita ada kira-kira 500 beg darah dan jumlah itu cukup untuk kegunaan antara satu hingga dua minggu,” katanya ketika ditemui pemberita pada Program Derma Darah di sini, pada Selasa.
Dr Mohd Muhaimin tidak menolak keadaan cuaca yang tidak menentu menjadi faktor kurangnya penderma darah pada musim tengkujuh.
Beliau berkata, pihaknya tetap bergerak proaktif mengadakan program derma darah di pelbagai lokasi bagi memastikan bekalan darah sentiasa mencukupi dan maklumat kempen tersebut disebarkan kepada umum di laman sosial.
Sehubungan itu, Dr Mohd Muhaimin menyeru orang ramai khususnya mereka yang tidak terjejas banjir datang menderma darah kerana sumbangan mereka dapat menyelamatkan nyawa insan lain.
“Saya berterima kasih kepada semua penderma termasuk agensi dan pasukan penyelamat. Mereka bukan saja menyumbang keringat menolong mangsa banjir tapi turut menderma darah bagi membantu pesakit memerlukan,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!