BAM kena lebih selektif pilih kejohanan

LEE ZII JIA. (Gambar Kecil) ROSLIN
LEE ZII JIA. (Gambar Kecil) ROSLIN
A
A
A

PERSATUAN Badminton Malaysia (BAM) digesa lebih selektif dalam memilih kejohanan dalam mengharungi kalender 2022 bagi mengelak berulang lagi prestasi tidak menentu ditampilkan skuad badminton negara dalam sembilan kejuaraan terakhir bermula dengan Piala Sudirman sebelum ini.

Bekas pemain nombor satu dunia, Roslin Hashim berkata, badan induk badminton negara itu seharusnya mengambil pengajaran terhadap prestasi mengecewakan yang melanda kem badminton senior negara pada ketika ini.

“Saya berharap selepas ini BAM akan melihat dengan lebih teliti setiap kejohanan yang akan disertai oleh para pemain kerana kita tentunya tidak mahu melahirkan para pemain yang gah menyertai terlalu banyak kejohanan tanpa sebarang result yang membanggakan negara.

“Kita sudah nampak kesan negatif terhadap para pemain terutamanya seperti yang berlaku terhadap Lee Zii Jia, dan sejujurnya saya pelik mengapa dia di hantar menyertai terlalu banyak kejohanan selepas Kejuaraan Piala Sudirman, BAM nak naikkan ranking atau hendak dedahkan dengan pengalaman luar biasa kepadanya?

“Tapi bagi saya perkara ini sebenarnya memudaratkan Zii Jia sendiri seperti mana yang kita lihat yang berlaku terhadap dia di setiap kejuaraan yang disertainya sepanjang tahun ini,” katanya kepada Sukan Sinar pada Isnin.

Presiden BAM Tan Sri Mohamad Norza Zakaria sebelum ini menyatakan badan induk tersebut akan melakukan penstrukturan semula barisan kejurulatihan dan pemain selepas prestasi hambar kem badminton negara bermula dengan edisi Piala Sudirman 2021 Vantaa, Finland sebelum ini.

Jelas Roslin lagi, pengurusan BAM juga perlu memastikan para pemain yang dihantar untuk sesuatu kejuaraan tersebut berada dalam keadaan yang cukup bersedia baik dari fizikal dan mental.

“Saya bagi contoh masa era saya termasuk Datuk Lee Chong Wei dulu, kita hanya menyertai kejuaraan back to back tiga kejohanan sekali sahaja dalam setahun dan kita tidak akan pergi lebih kerana ia akan memberi kesan terhadap prestasi para pemain.

Artikel Berkaitan:

“Jadi dalam kes Zii Jia ini sebenarnya kita perlu memberi perhatian serius kerana tumpuan akan diberikan sepenuhnya kepada dia sama seperti Chong Wei dulu, kita jangan hantar pemain menyertai semua kejohanan tanpa sebarang sasaran kerana perkara yang penting adalah result. Jangan terlalu nak mengejar ranking,” katanya

Untuk rekod, Terbuka Jerman dari 8 hingga 13 Mac, Seluruh England (16 hingga 20 Mac) dan Terbuka Switzerland (22 hingga 27 Mac) antara kejohanan back to back dalam kalender badminton dunia tahun depan.

Pada masa sama Roslin menyarankan sebaiknya untuk para pemain senior negara mengambil bahagian dalam 12 kejohanan dalam setahun dengan syarat sasaran perlawanan akhir atau separuh akhir.

“Kita buat anggaran dalam sebulan ada tiga kejohanan, dalam setahun tentu-tentunya ada 36 kejohanan, suku daripada itu pun sudah memadai untuk para pemain meningkat prestasi selain memperbaiki kedudukan ranking.

“Tapi sebagai bekas pemain, kebiasaannya para pemain yang menyertai setiap kejohanan akan mensasarkan untuk meraih kejuaraan kerana itulah pencapaian diharapkan oleh setiap yang bergelar atlet," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!