'Saya mahu menang lebih banyak lagi'
TONGGAK sensasi Perancis, Kylian Mbappe dinobatkan Pemain Terbaik Tahunan Anugerah Dubai Globe Soccer melaungkan amaran mahu meraih lebih banyak lagi kejuaraan pada masa depan selepas menyisihkan pemenang enam kali dari Portugal, Ronaldo bagi edisi ke-12 tersebut.
Malah menurut penyerang Paris Saint-Germain (PSG) berusia 23 tahun itu, dunia bola sepak semakin mencabar dengan kehadiran lebih ramai bintang dan pemain berbakat pada masa kini.
“Saya mahu menang dan menang lebih banyak lagi. Jika anda melihat dunia bola sepak terdapat ramai pemain yang hebat dan jika anda tertidur maka seseorang boleh mengambilnya daripada anda.
“Saya seorang lelaki bertuah yang bermain untuk pasukan yang hebat di peringkat kelab dan antarabangsa, tetapi saya tidak menoleh ke belakang. Saya tidak memikirkan apa yang saya menang, matlamat saya adalah untuk terus menang. Saya mahu mencipta sejarah bola sepak,” kata Mbappe yang turut menyisihkan Lionel Messi (Argentina), Mohamed Salah (Mesir), Karim Benzema (Perancis) dan Robert Lewandowski (Poland).
Untuk rekod, Mbappe mendahului senarai penjaring Ligue 1 musim lalu dengan 27 gol ketika Les Parisiens mengakhiri saingan kedua di belakang Lille dan Les Bleus kendalian Didier Deschamps merangkul kejuaraan Liga Negara-Negara UEFA.
“Sukar untuk saya berada di Dubai bersama legenda bola sepak yang hebat ini. Saya berterima kasih kepada PSG kerana mempercayai saya, rakan sepasukan kerana memberi begitu banyak, keluarga kerana sentiasa bersama saya,” ujarnya.
Pada majlis itu, Lewandowski yang menjaringkan 69 gol bersama juara Bundesliga, Bayern Munich turut dipilih penerima Anugerah Diego Maradona.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!