Gaji tertunggak pemain Perak FC mula dibayar 31 Disember
TUNGGAKAN gaji melibatkan pemain Perak FC yang mencecah lebih RM1 juta mula dibayar bermula Jumaat ini.
Pembayaran gaji yang tertangguh selama empat bulan dari Ogos itu dibuat secara berperingkat iaitu bayaran pertama dikeluarkan pada 31 Disember sementara bayaran kedua, 31 Januari depan.
Pengerusi Eksekutif Perak FC, Khairul Nizam Mahmood berkata, persetujuan sementara dengan pemain mengenai tunggakan gaji yang berlanjutan itu menunjukkan langkah awal kelab berkenaan ke arah transformasi di bawah pemilik baharu, Impact Media and Communications’ (IMC).
Menurutnya, pemain-pemain sebelum ini telah meminta kelab untuk melunaskan pembayaran pertama sebelum 25 Disember, bagaimanapun, dengan proses urusan peralihan hak milik kelab yang sedang dijalankan, pembayaran pertama hanya akan dilakukan pada 31 Disember.
"Kami memahami situasi semasa pemain dan menyelesaikan isu ini secepat mungkin merupakan keutamaan kami.
"Pemain sangat penting bagi kelab dalam tempoh mencabar ini dan kami mahu memastikan kebajikan mereka dijaga supaya dapat memberikan fokus kepada permainan," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Selasa.
Beliau berkata, surat perjanjian berhubung bayaran berkenaan telah dikeluarkan kepada pemain melalui persatuan masing-masing.
"Kemungkinan besar majoriti pemain akan menandatangani perjanjian surat sebaik sahaja bayaran pertama dilakukan.
"Kita juga akan menghubungi pemain-pemain import yang telah meninggalkan Malaysia melalui wakil mereka atau kesatuan pemain dalam minggu yang berikutnya," katanya.
Perak FC telah ditubuhkan pada 1921 dan merupakan satu daripada kelab bola sepak paling berjaya dalam sejarah Piala Malaysia selepas memenangi piala tersebut sebanyak lapan kali.
Prestasi kelab yang digelar The Bos Gaurus itu menjadi bahan debat apabila terkeluar daripada Liga Super Malaysia dan akan bertanding dalam Liga Premier Malaysia pada musim hadapan.
Pada awal bulan ini, IMC telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) untuk pengambil alihan hak milik Perak FC.
Perpindahan hak milik tersebut telah selesai dilakukan pada 24 Disember lepas dan IMC telah memulakan proses transformasi kelab tersebut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!