Hujan berterusan diramal di enam negeri

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Enam negeri dijangka hujan berterusan sehingga 2 Januari depan disebabkan angin bertiup dari arah timur laut yang berpotensi menyebabkan banjir di kawasan rendah.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menerusi kenyataan amaran cuaca yang dikemaskini pada 2 petang memaklumkan, keadaan cuaca buruk yang diramal melanda beberapa kawasan di timur negeri Sabah pada Selasa dijangka berterusan sehingga 2 Januari nanti.

Menurut kenyataan itu, kawasan yang terlibat di Sabah ialah Tawau (Lahad Datu), Sandakan (Telupid, Kinabatangan, Beluran dan Sandakan) serta Kudat.

“Sementara di Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor juga diramal menerima hujan lebat secara berterusan bermula 30 Disember sehingga 1 Januari depan.

“Ia melibatkan kawasan di Kelantan (Tumpat, Pasir Mas, kota Bharu, Jeli, Tanah Merah, Bachok, Machang, Pasir Puteh dan Kuala Krai); Terengganu; Pahang (Jerantut, Maran, Kuantan, Pekan dan Rompin); dan Johor (Mersing)," kata kenyataan itu.

Tambah kenyataan itu, angin bertiup dari arah timur laut dijangka berpotensi membawa hujan berterusan dan angin kencang yang boleh menyebabkan banjir di kawasan berkedudukan rendah di kawasan terbabit.

Kata kenyataan itu, angin kencang dan laut bergelora di perairan Pantai Timur Semenanjung, Sarawak dan Sabah diramal berterusan sehingga 2 Januari depan.

Pada Isnin, Ketua Pengarah Met Malaysia, Muhammad Helmi Abdullah berkata, luruan monsun yang sedang melanda negara ketika ini dijangka akan berterusan sehingga 3 Januari depan.

Artikel Berkaitan:

Ia berdasarkan analisis Model Penyelidikan dan Ramalan Cuaca, Jabatan Meteorologi Malaysia (MMD-WRF); Pusat Eropah untuk Ramalan Cuaca Julat Sederhana (ECMWF) dan Sistem Ramalan Global (GFS).

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!