Seorang maut, lima cedera kapal tongkang meletup

Anggota bomba sedang melakukan kerja-kerja memadamkan kebakaran dalam kejadian kapal tongkang meletup di Gat Leboh Macallum-Pengkalan Weld, Georgetown pada Selasa.
Anggota bomba sedang melakukan kerja-kerja memadamkan kebakaran dalam kejadian kapal tongkang meletup di Gat Leboh Macallum-Pengkalan Weld, Georgetown pada Selasa.
A
A
A

GEORGETOWN - Seorang penyelia jurukimpal maut, manakala lima lagi cedera selepas sebuah kapal tongkang meletup dalam kejadian di Gat Leboh Macallum-Pengkalan Weld di sini pada Selasa.

Dalam kejadian jam 10.54 pagi itu, mangsa dikenali Yasir Abdullah, 60, dilaporkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Pulau Pinang selepas mengalami cedera parah.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang, Saadon Mokhtar berkata, ketika kejadian, kesemua mangsa sedang melakukan kerja pembaikan di bahagian dek sebelum satu daripada ruang pada tongkang itu meletup.

Menurutnya, akibat kejadian itu kesemua mangsa terpelanting dan letupan yang berlaku menyebabkan gegaran kuat yang boleh dirasakan sejauh dua kilometer.

"Letupan juga menyebabkan struktur tongkang itu terbakar 20 peratus, namun api berjaya dipadamkan sepenuhnya pada jam 11.17 pagi," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di sini pada Selasa.

Saadon berkata, pihaknya percaya masih terdapat simpanan atau wap gas dalam ruang berkenaan sekali gus mencetuskan letupan.

Beliau berkata, pihaknya sudah berjumpa dengan pihak pengurusan kawasan berkenaan dan menasihati supaya mereka mengambil langkah berhati-hati bagi mengelakkan kejadian seumpamanya berulang.

Dalam pada itu, katanya, kejadian sama pernah berlaku pada Mei lalu menyebabkan dua kru melecur teruk selepas kapal yang membawa muatan minyak diesel terbakar.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!