Banjir: Aset pasukan keselamatan perlu ditambah

Adnan Mat
Adnan Mat
A
A
A

SHAH ALAM - Kongres Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) menggesa agar kerajaan memberi perhatian sewajarnya kepada pasukan keselamatan terutama dalam menambah aset-aset baharu dan sesuai untuk misi menyelamat.

Presidennya, Datuk Adnan Mat berkata, aset dan peralatan yang lengkap serta sesuai membolehkan kerja-kerja menyelamat dilaksanakan dengan lebih berkesan tanpa mengundang risiko kepada anggota keselamatan.

“Kita sendiri melihat anggota keselamatan yang melakukan tugas menyelamat menggunakan pakaian yang tidak sesuai dengan operasi. Begitu juga dengan jumlah anggota yang tidak mencukupi dan ia telah lama tidak diberikan kelulusan oleh kerajaan untuk ditambah.

“Kepadatan penduduk di Lembah Klang menyaksikan anggota keselamatan tidak mencukupi untuk digerakkan ke semua kawasan.

“Bayangkan di sesebuah taman di bandar mempunyai lebih daripada 1,000 penduduk, berbeza di kawasan kampung yang hanya mempunyai ratusan penduduk,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Dalam pada itu, Adnan berkata, pihaknya berasa terkilan dengan kecaman segelintir masyarakat yang mengatakan pasukan keselamatan lewat menyalurkan bantuan terutama melibatkan kejadian banjir di beberapa kawasan di Lembah Klang.

Menurutnya, tuduhan tersebut sama sekali tidak berasas kerana semua pasukan keselamatan telah digerakkan mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

“Banjir luar biasa di Lembah Klang telah menyukarkan proses menyelamat. Apatah lagi kepadatan penduduk yang mencecah jutaan orang mengakibatkan keupayaan menyelamat menjadi terbatas.

Artikel Berkaitan:

“Proses menyelamat menjadi sukar apabila terdapat penduduk yang enggan berpindah ke kawasan yang selamat ketika keadaan masih lagi terkawal. Apabila air telah naik, sudah tentu ia menyukarkan lagi operasi untuk mengeluarkan mangsa ke tempat yang selamat,” katanya.

Tambah Adnan, terdapat lebih 300 rumah milik anggota pasukan keselamatan turut ditenggelami banjir dan mereka terpaksa meninggalkan rumah serta keluarga sendiri demi menyelamatkan orang awam.

Beliau berkata, ada juga daripada anggota berkenaan terperangkap di rumah masing-masing ketika banjir.

“Justeru, kekurangan yang berlaku dalam operasi menyelamat seharusnya tidak diletakkan kesalahannya kepada anggota keselamatan sahaja. Faktor kepadatan penduduk, keengganan mangsa untuk pergi ke pusat pemindahan ketika keadaan masih terkawal dan risiko keselamatan perlulah diambil kira oleh semua pihak,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata, semua pihak harus memberi sokongan kepada pasukan keselamatan terutama kesiapsiagaan menghadapi banjir dan pasca banjir.

“Perbetulkan tanggapan yang salah dan marilah kita bersama-sama terus menyalurkan bantuan dengan cara masing-masing mengikut kemampuan yang ada. Jika tidak dapat membantu, janganlah kita terus menyukarkan tugas pasukan keselamatan dengan tuduhan yang tidak berasas ini,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!