Skim harga maksimum Keluarga Malaysia dilanjutkan hingga 4 Februari
PUTRAJAYA - Skim Harga Maksimum Keluarga Malaysia (SHMKM) yang dijadualkan berakhir Jumaat ini (31 Disember), dilanjutkan selama 35 hari lagi berkuat kuasa 1 Januari hingga 4 Februari tahun depan, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.
Beliau berkata, jumlah barangan harga terkawal bagi pelaksanaan SHMKM itu adalah sama iaitu melibatkan 12 jenis barangan makanan keperluan asas dari kategori ayam, telur ayam dan sayur-sayuran.
Antara barangan yang disenaraikan di bawah skim tersebut ialah ayam hidup, ayam standard, ayam super, telur ayam gred A, B dan C, kacang panjang, cili merah, tomato, sawi, kubis bulat import (dari Indonesia dan China) serta timun.
“Berdasarkan maklum balas yang diterima dan sebagai langkah berterusan untuk menstabilkan harga barangan dan memastikan keberadaan bekalan, kementerian memutuskan untuk melanjutkan tempoh pelaksanaan SHMKM,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Sebelum ini, kerajaan mengumumkan pelaksanaan SHMKM berkuat kuasa 7 Disember hingga 31 Disember ini dalam usaha kerajaan untuk menstabilkan harga barangan keperluan dan memastikan bekalan itu mencukupi di pasaran.
Nanta menjelaskan, terdapat empat jenis barangan yang terlibat dengan pelarasan harga dalam SHMKM iaitu ayam, telur ayam, sawi dan kacang panjang untuk lokasi-lokasi terpilih.
“Pelarasan harga ini dibuat adalah berdasarkan kepada situasi dan faktor-faktor tertentu bagi menjamin kestabilan harga dan bekalan,” katanya.
Sepanjang pelaksanaan SHMKM itu, anggota penguat kuasa dan pegawai pemantau harga Kementerian Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan melakukan pemantauan setiap hari di seluruh negara, katanya.
“Pemeriksaan antaranya melibatkan lokasi-lokasi yang menjadi tumpuan orang ramai seperti pasar awam, pasar tani dan pasar raya serta peniaga-peniaga di peringkat rantaian borong," katanya.
Beliau menjelaskan, KPDNHEP serta Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) sentiasa bekerjasama melakukan pemeriksaaan untuk memastikan bekalan barangan adalah mencukupi selain menjamin kestabilan harga barang di pasaran.
Nanta mengingatkan semua peniaga agar terus mematuhi harga maksimum yang telah ditetapkan di bawah skim itu kerana jika gagal, mereka boleh diambil tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.
Orang ramai dan peniaga boleh merujuk di portal rasmi kementerian iaitu https://www.kpdnhep.gov.my/ms/pengumuman/1117-hargamaksimum-shm-keluarga-malaysia-28-dis-2021.html untuk senarai daftar barangan dan harga yang terlibat dalam skim ini. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!