Empati terhadap mangsa banjir
BANJIR besar melanda beberapa daerah di Selangor, Pahang, Negeri Sembilan dan Melaka yang menjejaskan lebih 63,000 mangsa baru-baru ini merupakan tragedi terbesar pernah direkodkan dalam sejarah moden negara.
Manakan tidak, nilai kerugian tidak rasmi akibat kerosakan harta benda disebabkan bencana alam itu sahaja dianggarkan mencecah RM300 juta.
Lebih mendukacitakan, berdasarkan laporan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sehingga Ahad lalu, sebanyak 47 kematian direkodkan membabitkan 32 lelaki, 12 wanita dan tiga kanak-kanak manakala lima lagi mangsa masih hilang.
Apa yang membuatkan penulis kesal ialah dalam tempoh negara ‘berduka’ akibat bencana itu, acara hiburan di kaca televisyen masih diteruskan oleh sesetengah stesen televisyen swasta.
Artis undangan terkinja-kinja di pentas manakala alunan muzik menjadi halwa telinga si peminat seolah-olah tiada apa yang berlaku. Di manakah empati?
Walaupun turut mengumumkan jumlah sumbangan yang disalurkan kepada mangsa banjir, bagi penulis ia tidak menggambarkan empati sebenar terhadap mereka yang ditimpa musibah.
Jika tidak boleh hentikan serta-merta rancangan berunsur hiburan, sekurang-kurangnya tangguhkan dahulu sebagai menghormati perasaan individu lain yang dirundung malang.
Dalam tempoh sukar ini, mengapakah kita tergamak mengutamakan keuntungan semata-mata sehingga sanggup membelakangkan musibah melanda.
Takdir itu bukan di tangan manusia. Jika hari ini bukan kita yang menjadi mangsa, nasib yang bakal menimpa esok lusa tiada siapa yang tahu.
Penyatuan
Musibah kali ini bukan perkara kecil sehinggakan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Jumaat lalu turut mengumumkan menteri kabinet yang sedang atau merancang bercuti diarah membatalkan percutian masing-masing, sehingga masalah bencana banjir yang melanda negara ketika ini selesai.
Beliau menegaskan, mana-mana menteri yang sedang berada di luar negara, juga diarah membuat penerbangan balik ke tanah air dengan segera.
Menurut Ismail Sabri, beliau juga terpaksa menunda lawatan kerja ke Bangkok, Thailand yang sepatutnya diadakan pada 28 hingga 30 Disember bagi memberi tumpuan kepada isu banjir yang melanda ketika ini.
Penulis turut tertarik dengan status di media sosial Facebook yang dimuat naik pendakwah terkenal, Ustazah Asma' Harun yang meminta supaya semua pihak menyembunyikan dahulu cerita-cerita gembira demi kecaknaan terhadap penderitaan dialami mangsa banjir.
“Dalam tempoh ramai sangat saudara kita sedang berduka, simpanlah sekejap cerita bahagia dan gembira kita.
“Jagalah adab saat musibah besar melanda, mereka diuji, kita juga diuji. Bukan iri hati, tapi saling mengingati dan mengerti,” ujarnya.
Banjir pada Disember 2021 dikatakan terbentuk susulan hujan lebat berterusan di kebanyakan kawasan semenanjung Malaysia akibat Lekukan Tropika 29W yang merentasi semenanjung dari Laut Cina Selatan selain musim monsun serta kejadian air pasang.
Bagaimanapun, musibah melanda membuktikan penyatuan seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira kaum, bangsa dan agama bersatu hati, tolong-menolong dan saling membantu antara satu sama lain dalam mengharungi ujian getir itu.
Ketika ini, urusan pasca banjir terutama membabitkan pembersihan, penyaluran bantuan serta proses baik pulih kediaman mangsa sedang giat dijalankan.
Usaha itu turut digerakkan agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan individu perseorangan yang tampil secara sukarela menghulurkan bantuan mangsa yang terjejas.
Jika kita tidak tergolong dalam kalangan mereka yang menggembleng tenaga dan membelanjakan harta bagi membantu mangsa banjir, adalah lebih afdal untuk kita mendoakan kesejahteraan mereka serta memohon perlindungan ALLAH SWT agar dijauhi musibah ini.
* Norhaspida Yatim ialah wartawan Sinar Harian Terengganu
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!